Thursday, October 10, 2013

Isteri Kontrak :: Bab 8

Selamat membaca :)


Wanita cantik di hadapannya tersenyum sumbing selepas memberikan dia satu tamparan di pipi. Habibah menggosok-gosok pipinya dengan tangan kanannya, matanya agak berpinar dengan kesan tamparan itu. 

“Engkau gatal sangat sampai nak kahwin dengan dia kan?” Herdikan wanita cantik yang tidak dikenalinya itu membuatkan dia malu. Habibah cuba meraih simpati dengan memandang disekelilingnya namun tidak ada seorang pun yang dikenalinya. Bahkan orang-orang yang lalu lalang seolah-olah tidak melihat dia di sana. 

“Engkau rampas dia dari aku, engkau larikan dia dari hidup aku, engkau paksa dia kahwin dengan kau, engkau ni dasar perempuan murahan! Dahlah yatim piatu, puihh!” Tempias ludah mengenai wajahnya yang sedia suram, Habibah menyekanya dengan perasaan sebak.

“Maafkan saya…” Air mata Habibah mula merembes keluar, namun wanita muda yang cantik itu tidak mempedulikannya, bahkan dia semakin galak. Rambut Habibah ditariknya kuat ke belakang sehingga kepala Habibah terdongak ke atas memandang awan yang kelabu. Habibah cuba menggapai apa-apa disekelilingnya untuk mengelakkan dirinya dari terjatuh. Wanita cantik itu semakin ganas, kali ini dia mengheret Habibah ke belakang dengan lajunya, Habibah tidak mempunyai pilihan lain selain mengikut langkah wanita cantik itu, dan dia berjalan ke belakang, petunjuk langkahnya hanya berpandukan langkah wanita cantik itu. 

Kelibat Qassif Daniel muncul di balik deretan kereta yang diparkir di tepi bangunan, Habibah melambai-lambai kearah lelaki itu untuk meminta pertolongan, Qassif Daniel memandang tepat ke arah Habibah, namun dia tetap berdiri di sana.

“Awak! Tolong saya….” Habibah melolong sedih, air matanya kian mengalir deras, tangannya dilambai-lambai, Habibah menyeka air matanya dan dia tidak melihat Qassif Daniel, lelaki itu ghaib!
“Awak…” Habibah merintih sedih lantas menutup matanya rapat-rapat.

Tiba-tiba tangannya digenggam erat, badannya digerakkan perlahan, dengan air mata yang masih bermukim ditubir mata, dia membuka matanya perlahan-lahan, pandangannya sedikit kabur namun dia yakin Qassif Daniel kini dihadapannya. Tiada lagi heretan ganas, tiada lagi tarikan rambut yang kuat, Habibah memandang di sekelilingnya mencari wajah wanita cantik itu, namun bayang wanita itu tidak kelihatan di mana-mana. 

“Awak?” Suara Qassif Daniel bernada cemas.

“Badan awak panas, awak demam ni!” Habibah merasa dahinya sendiri, dahi itu dingin dibasahi peluh.

Qassif Daniel membantu Habibah untuk bangun.

“Kenapa awak terjerit-jerit tadi?”

Habibah terpinga-pinga, jam di dinding dikerling, menunjukkan kan 7.30 petang, Habibah meraup wajahnya sambil beristighfar berkali-kali. Aku mimpi rupanya, syukur itu semua hanya mimpi. 

“Awak mimpi ke?” Soalan Qassif Daniel sekali lagi menyentakkan Habibah. Habibah tertunduk malu.

“Dah, bangun mandi. Awak dah solat belum?” Habibah mengangkat wajahnya dan memandang wajah Qassif Daniel sekali lagi, perasaan malu masih menyelubunginya, namu digagahi juga seulas senyuman untuk suaminya itu. 

“Saya cuti.” Argh! Malu lagi. Tapi buat apa nak malu? Aku kan isteri dia, walaupun isteri hanya pada gelaran di atas kertas tapi pada hakikatnya tidak pernah disentuh pun. 

“Cuti-cuti jugak, tapi janganlah tidur senja-senja macam ni, kan dah dapat mimpi buruk!” Amboi sedapnya mulut dia ni membebel, kata Mr Prim and Proper, apa kelas kau membebel? Kutuk Habibah dalam hati, lega hatinya yang peristiwa menakutkan itu hanyalah mimpi semata-mata, terus saja dia tersenyum senang. 

“Tadi menangis, menjerit, sekarang awak tersenyum ceria, awak ni okey ke?” Habibah tersentak lagi, untuk menutup rasa malunya kali ini, pantas dia berlari, mencapai tuala mandi dan masuk ke dalam kamar mandi. Qassif Daniel hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya.

*****

Hari itu Habibah berasa sungguh gembira, tidak disangkanya ibu mertuanya masih mahu berjumpa dengannnya dan memintanya untuk menemaninya membeli-belah bagi keperluan Rumah Anak Yatim Seri Kenangan. Dia ada dua sebab untuk gembira, pertama, dia benar-benar tidak menyangka Datin Zubaidah akan mengingatinya, sekurang-kurangnya ingatan orang tua itu membuktikan yang dia ada tempat di dalam keluarga itu. Sebab yang kedua, dia terlalu rindukan adik-adiknya di rumah anak yatim itu, mereka adalah sebahagian dari dirinya juga, dan paling menggembirakan dia ialah, dia boleh bermanja-manjaan dengan ibu Salbiah, ibu angkatnya.

Datin Zubaidah memegang “wish list” di tangannya dan Habibah faham benar maksud “wish list” itu. Di rumah anak yatim, mereka akan menyenaraikan segala keperluan yang mereka benar-benar perlukan. Selalunya, pihak yang menderma akan memenuhi keperluan yang mereka senaraikan, ada yang lebih bermurah hati, mereka akan memberikan lebih dari apa yang disenaraikan. Masih terbayang-bayang di ingatannya setiap kali diberitahu ada pihak yang akan menderma, mereka akan mula menyenaraikan benda-benda yang diperlukan, bukan yang diinginkan.

Anak-anak yatim akan berkumpul di ruang tamu menantikan kedatangan tetamu mereka yang bermurah hati, ketika kereta diparkir di halaman rumah anak yatim, mereka akan berduyun-duyun keluar dan membantu mengangkat barang-barang ke dalam rumah, biasanya barang-barang itu akan dilonggokkan di sudut ruang tamu, ibu Salbiah tidak membenarkan mereka untuk menyusun dan menyimpan barang-barang tersebut sehingga tetamu balik, tidak manis kata Ibu Salbiah. Argh Ibu, Bibah sangat rindukan Ibu!

Datin Zubaidah telah lama menjalankan aktiviti kebajikan kerana dia faham apa maksud hidup berkekurangan, asalnya Datin Zubaidah juga orang susah, ibu bapanya hanya bekerja sebagai penoreh getah dan kehidupan miskin memang memeritkan. Datin Zubaidah sangat bertuah kerana dikurniakan otak yang bergeliga yang membawanya hingga ke puncak menara gading dan menjawat jawatan yang bagus selepas itu, namun dia mengorbankan kerjayanya apabila berkahwin dengan Datuk Mansor kerana suaminya ingin dia menumpukan kebajikan anak-anaknya. Cuma dia masih berasa kurang senang sehinggalah dia terdetik untuk membuat kerja kerbajikan seperti yang dilakukannya sekarang. Melihat kegembiraan merona di wajah anak-anak yatim itu, menyuntik perasaan syukur dihatinya, dia benar-benar bersyukur dengan rezeki yang dia miliki, dia mampu memanjangkannya kepada anak-anak yang kurang bernasib baik itu. 

Hati Habibah sedikit berdebar ketika ketika Alphard bewarna hitam yang membawa mereka memasuki perkarangan Rumah Anak Yatim Seri Kenangan. Dia mengetap bibirnya, hatinya mula terusik melihat bangunan rumah itu, rindunya membawa kepada kenangan silamnya, kenangan bersama Fiza, kenangan bersama Ibu Salbiah, kenangan bersama rakan-rakan yang lain yang kini sudah tinggal berasingan dengannya.

“Ibu!” Tangan wanita separuh abad itu diciumnya dan kemudian dipeluknya wanita itu erat. Air mata yang ditahan-tahan sejak tadi dihamburkan juga pada waktu itu. Ibu Salbiah tenang memeluknya, bibir yang sering memberinya kata-kata perangsang itu mengherot senyuman manis.
“Bibah baik-baik saja kan?” Ibu Salbiah mengangguk, masih dengan senyumannya, ternyata hatinya juga merindukan Habibah. Habibah menganggukkan kepalanya.

“Ibu, mari Bibah kenalkan, ini Datin Zubaidah, dia…” suara Habibah terhenti, dia merasa serba salah. Datin Habibah yang menjadi pemerhati setia sejak dari tadi datang mendekat pada mereka, dengan senyumannya yang tulus, dia menghulurkan tangannya. Habibah terkesima.

“Panggil saja saya Zu kak,” ujar Datin Zubaidah, mereka bersalaman dan kemudian Datin Zubaidah memandang lembut ke arah Habibah, “Mungkin Bibah belum biasa kak, dia suka sangat membahasakan saya Datin, saya ni ibu mertua dia kak.” Kata-kata Datin Zubaidah cukup membuatkan Habibah mengangkat mukanya dengan pantas, segan kerana kahwin tergesa-gesa dengan Qassif Daniel belum habis lagi, kini dia menambah segan dia lagi. 

Habibah terkesima lagi, terasa dirinya menjadi kerdil di tengah-tengah mereka, mungkinkah Datin Zubaidah dengan keakraban dia dengan Ibu Salbiah, sedangkan hubungan dia dengan Datin Zubaidah?

“Kita masuk dan berbual di dalam dulu,” bijak sungguh Ibu Salbiah menyelamatkan keadaan, Habibah bersyukur di dalam hati kecilnya. 

Habibah sibuk melayan anak-anak di rumah itu, ternyata kerinduannya terhadap mereka tidak dapat disangkal lagi, Datin Zubaidah hanya memerhatikan gelagat menantunya dari jauh. Mereka makan tengahari di rumah itu tadi, pemandu Datin Zubaidah, Pak Jamal sempat membungkuskan KFC utk menjadi santapan tengahari mereka semua. Gembira bukan main anak-anak itu semua, Datin Zubaidah faham, bukan selalu anak-anak itu dapat menikmati KFC, ada sendu menggigit tangkai hatinya.

Ini kali pertama dia menjejaki kaki ke Rumah Anak Yati Seri Kenangan, khabarnya Qassif Daniel yang selalu berkunjung di sana untuk membuat projek Corporate Social Responsibility syarikat mereka. Dia dapat tahu tempat itu pun melalui Pak Jamal yang kebetulan bersama dengan Qassif Daniel pada hari lamaran terhadap Habibah dibuat, tapi kenapa Habibah? Datin Zubaidah melepaskan keluhan berat dan menarik nafas panjang-panjang.

“Zu nampak seperti ada masalah,” Ibu Salbiah meletakkan sepinggan karipap dan teko teh O di atas meja, dalam hatinya dia mengagumi Datin Zubaidah yang tidak kurang anggunnya itu. Panggilan ‘Zu’ terpaksa diturutkan walaupun sebenarnya dia segan. Datin Zubaidah teleh menelefonnya minggu lepas berkenaan dengan lawatannya pada hari ini. Tidak disangka Datin yang baik itu adalah ibu mertua kepada anak angkatnya Habibah kerana hari hari pernikahan mereka, ibu bapa Qassif Daniel tidak menghadirkan diri kerana berada di Kota London.

Datin Zubaidah tersenyum manis ke arah Ibu Salbiah.

“Tak ada apa-apa kak, cuma saya perhatikan Bibah dari tadi, budak ni semenjak berkahwin dengan Daniel, asyik diam saja,” sekali lagi Datin Habibah mengeluh.

“Kenapa kak, dia tak suka ke kahwin dengan Daniel?” Ibu Salbiah agak terkejut dengan khabar yang baru diterimanya. 

“Entahlah susah nak cakap.” Datin Zubaidah merasa serba salah kerana membuka pekung keluarganya. Namun dia tiada pilihan, tujuan kunjungannya ini kerana ada sangkut paut dengan perkahwinan Qassif Daniel dan Habibah, cuma dia tidak tahu di mana dia perlu mulakan, dia segan dengan Ibu Salbiah kerana menjadikan Habibah mangsa keadaan kemelut perniagaan keluarganya. Datin Zubaidah menghirup teh O yang berwap panas untuk menghilangkan gemuruhnya. 

Ibu Salbiah tidak senang duduk, dia membuang pandang ke arah Habibah yang nampak gembira bersama adik-adik yang senasib dengannya. Kenapa dengan Habibah? Adakah Habibah tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sebagai seorang isteri, bagaimana pula tanggungjawabnya sebagai seorang menantu?

“Akak minta maaf Zu, sekiranya ada kekurangan pada Bibah tu, dia tu baik budaknya, cuma mungkin dia perlukan masa untuk membiasakan diri dengan keluarga barunya.” Kata-kata Ibu Salbiah membuatkan Datin Zubaidah lagi serba salah. Bagaimana sekiranya Qassif Daniel melakukan perkara yang tidak dapat digambarkan oleh Ibu Salbiah selepas berakhirnya kontrak perkahwinan di antara Qassif Daniel dan Ibu Salbiah? Datin Zubaidah segera menghilangkan gambaran-gambaran ngeri itu. Perasaannya terhadap Habibah berubah sejak pertemuan pertama mereka di malam ulang tahun perkahwinannya. Ternyata air muka wanita muda itu terlalu telus dan Habibah bukanlah wanita materialistik seperti yang dianggap suaminya. Ya, aku perlu bekerja keras demi memberikan keyakinan kepada suamiku bahawa Habibah bukan pengikis, janji hatinya. 

“Habibah dari kecil seorang budak yang tidak banyak kerenahnya, mungkin kerana menyedari nasib dirinya, dia pandai membawa diri dan sentiasa memberikan kegembiraan kepada mereka di sekitarnya, berilah dia masa, pasti dia akan berubah.” Ibu Salbiah meniup harapan gembira kepada Datin Zubaidah, Datin Zubaidah memandang Ibu Salbiah sambil tersenyum yakin. Hati wanita memang mudah membaca, Ibu Salbiah turut membalas senyuman itu, senyuman yang penuh bermakna dan pengharapan.

Habibah kelihatan sedikit sedih ketika Datin Zubaidah mengajaknya pulang. 

“Tak apa, kita pasti akan kembali, seronok berbual dengan Ibu Salbiah!” Datin Zubaidah sengaja meniup semangat Habibah, hiba hatinya melihat wajah wanita itu sedih tatkala berpisah dengan ‘keluarganya’. 

Habibah merenung dalam anak mata Datin Zubaidah, tidak disangkanya ibu mertuanya seramah itu, serta merta dia merasa bersalah kerana sentiasa menjauhkan diri dari wanita itu. Serta-merta bibirnya menguntum senyum dan tanpa disedarinya, wanita itu dipeluknya erat, tangan wanita itu juga dicapai lantas diciumnya. Ibu Salbiah memandang dengan senang hati. 

“Bibah, ingat tanggungjawab sebagai isteri dan menantu. Jangan abaikan sesiapa pun, pandai-pandai bawa diri,” pesanan Ibu Salbiah sedikit berteka-teki, namun Habibah faham, tidak salah jika Datin Zubaidah mengadu pada Ibu Salbiah, namun Habibah sukar mencari ruang keselesaan itu, mungkin belum waktunya lagi.

Habibah mencium tangan Ibu Salbiah sebelum kereta Alphard hitam yang dipandu oleh Pak Jamal meluncur pergi. Suasana hening dan aneh kembali menyelubungi. Habibah mula memerah otaknya.

Mommy… terima kasih mommy.”Meskipun kedengaran agak sumbang di telinganya sendiri, namun Habibah ikhlas menuturkannya. Hati ibu mana yang tidak tersentuh dengan panggilan yang ditunggu-tunggu itu dari seorang yang bergelar menantu.
 
Mommyfaham Bibah, mommy sangat faham. Mommy harap lepas ni kita akan ada lebih masa untuk bersama.

Habibah mengangguk lembut, hatinya terasa sedikit ringan namun kembali bergelodak dasyat ketika Datin Zubaidah mengenggam erat tangannya dan berkata, “Malam ni Bibah tidur di rumah mommy, okey?”

 Niat Habibah adalah untuk menggelengkan kepalanya selaju yang mungkin, namun kepalanya mengangguk lembut. 

“Ibu Salbiah kata Bibah pandai masa asam pedas ikan , daddy suka tau masakan tu, malam ni Bibah masak okey?”

Sekali lagi kepalanya mengangguk, “Bibah tak perlu cakap dengan Daniel, nanti mommyuruskan, kita buat surprise!” pada saat itu juga Habibah ingin menampar mukanya sendiri bertalu-talu.

Apakah yang berlaku pada Bibah seterusnya... saya belum fikirkan lagi plotnya, mari kita sama-sama teka... selamat berhujung minggu!

 [BERSAMBUNG]

5 comments:

  1. Hee... Thanks for the new n3... usaha lagi... perah otak kuat2... lepas tu taip laju2... selamat berhari minggu Amoiiiii..

    ReplyDelete
  2. best....selamat berhari minggu....amoiiii..

    ReplyDelete
  3. Really miss your n3! Continue cepat2 ye...sbb rindu nak tau pasal Bibah & Daniel. To Bibah, be strong ok & kalau boleh, cubalah pikat hati Daniel tu ok..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ini baru permulaannya... tapi akan jadi happy ending jugaklah hopefully :)

      Delete