Monday, August 5, 2013

Isteri Kontrak:: Bab 2



Habibah kini telah menjadi isteri yang sah kepada Qassif Daniel. Sah dari segi hukum syarak. Qassif Daniel, satu nama yang begitu asing dalam kehidupannya kerana selama ini lidahnya hanya betah mengeja dan mengalunkan nama Rayyan Sulaiman. Rayyan harus dilupakan, sebagaimana dirinya telah dilupakan oleh pemuda itu. Rayyan yang dulu mengisi setiap sudut hatinya, namun kini terpaksa dia kosongkan untuk mengisi nama Qassif Daniel. Saat Qassif Daniel menyarungkan cincin emas putih bertatahkan berlian di jari manisnya, air matanya turut berlinang bagaikan butiran berlian itu, namun Habibah akur, air matanya tidaklah semahal burtiran berlian, air matanya mengiringi hati rapuhnya, hati yang pernah berpaut pada satu hati yang pada akhirnya menggoresnya pedih. Dia akur, berdosa untuk dia menyimpan perasaan sayang dan cinta pada kekasih lama, namun kudratnya tidak memungkinkan dia mengalihkannya dengan sekelip mata. Habibah tersentak apabila bahunya dipegang lembut, dia menoleh perlahan, wajah Ibu Salbiah yang dibaluti tudung bewarna kuning air ditenungnya dalam, Ibu Salbiah tersenyum lembut dan mengangguk perlahan kearah Qassif Daniel yang telah bersimpuh dihadapannya, perlahan tangan lelaki itu dicapainya, dicium perlahan dan tatkala bibir lelaki itu menyentuh dahinya, airmatanya tumpah lagi. Hatinya memang berbelah bahagi.

Usai majlis pernikahan ringkas dan sedikit jamuan tadi, Qassif Daniel mengajaknya pulang. Pulang? Habibah benar-benar janggal. Wajah Ibu Salbiah segera dicari, dan tidak susah untuk menjejaki wajah wanita itu, Habibah merapati Ibu Salbiah dan memeluknya erat. Seperti diduga, airmatanya merembes keluar bagaikan pancuran atap yang bocor, hati mana yang tidak tersentuh, akhirnya dia terpaksa ‘berpisah’ dengan wanita yang dianggap seperti ibu kandung itu. 

“Anak ibu dah dewasa kan? Dah jadi isteri orang pun… ingat pesan ibu selalu…” sayu sungguh suara Ibu Salbiah. Habibah tetap dengan tangisan sendu dan terharu. 

“Ibu…”

“Pergilah nak…” Ibu Salbiah meleraikan pelukan erat itu dengan lembut. Didongakkan kepala gadis itu dan mengucup dahi gadis itu dengan lembut. 

“Bibah akan balik menjenguk ibu dan adik-adik… bolehkan bu?” Ibu Salbiah mengangguk lembut.
Qassif Daniel tidak menampakkan apa-apa reaksi. Namun kelihatan lelaki itu menunggu dengan sabar drama airmata di hadapannya. Qassif Daniel menyambut beg pakaian yang dihulurkan oleh Ibu Salbiah, dan menyalami wanita itu. 

“Terima kasih Qassif… jaga anak ibu baik-baik!” Qassif cuba mengukir senyuman manis. 

“Insyaallah ibu.”

Drama airmata berlanjutan dengan Qassif Daniel menyaksikan Habibah bersalaman dan berpelukan dengan anak-anak yatim yang lain, ternyata kasih sayang gadis itu amat hebat terhadap adik-adiknya walaupun tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengannya itu. Hati Qassif Daniel bergolak serba salah, benarkah tindakan ku ini? Tergamakkah aku meneruskan rancangan ku nanti? Gadis itu nampaknya sangat lurus. Hatinya Qassif Daniel terus dimamah perasaan serba salah.

********

“Ini rumah Bibah!”

Tiga patah perkataan yang terbit dari bibir Qassif Daniel tatkala tombol pintu kondominium itu dibuka. Habibah dihimpit rasa kagum dan takjub. Seumur hidupnya, tidak pernah dia mengimpikan untuk memiliki errr…. menghuni rumah sehebat itu. Dia memandang wajah Qassif Daniel, lelaki itu ternyata memaksa diri dengan senyuman tipisnya.

“Ru… ru… rumah saya?”

Qassif Daniel mengangguk. Habibah kian buntu. Qassif Daniel memimpin tangannya masuk, pintu rumah di tutup dan beg pakaian Habibah diletak di sofa empuk yang bewarna merah hati. Habibah menyentuh sofa itu dengan perlahan, terbayang ruang tamu Rumah Anak Yatim Seri Kenangan yang tidak mempunyai sofa, malah ruang tamu rumah itu adalah tempat untuk mereka bermain, beriadah, belajar dan… berkongsi suka duka.

“Sofa ini nampak mahal!” Habibah sememangnya ketandusan idea untuk berbual dengan suaminya. Wow! Suami? Habibah merasa masih di alam fana mimpi. 

“Awak akan duduk di rumah ini!” Memanglah, aku kan isteri kau!

“Awak boleh ambil masa melihat-lihat rumah ni dulu, dapur kat depan… bilik tidur ada tiga tak termasuk maid’s room… oh ya, orang gaji awak akan sampai minggu depan!” 

“Err… saya rasa saya err… kita tak perlukan orang gaji.” Habibah cuba menolak dengan baik. 

“Tak apa, saya cuma nak pastikan keselesaan awak!” ujar Qassif Daniel, dan Habibah tahu lelaki itu memang ikhlas. Qassif Daniel sedar, gadis yatim itu pasti mengalami kejutan besar, namun dia percaya gadis itu pasti boleh menyesuaikan diri kelak. Itu baru sedikit, kerana ada kejutan lebih besar untuk gadis itu. Qassif Daniel bagaikan tidak sampai hati namun dia tahu, dia perlu bertindak segera dan berhati-hati. 

Ibarat rusa masuk kampung, begitulah keadaan Habibah ketika melangkah masuk ke bilik tidur utama unit kondominium itu. Segalanya indah dan mahal, katil kayu itu pasti diperbuat dari kayu jati, ukirannya yang ringkas namun menampakkan unsur elegan di situ. Tilam empuk setebal 10 inci dari jenama terkenal. Bilik baju yang dihubungkan terus dengan bilik tidur utama itu amat besar, siap dengan cermin dari atas ke bawah, Habibah teruja! Di rumah anak yatim cuma ada cermin empat segi sebesar kertas A3, dan dikongsi dengan hampir dua puluh orang penghuni di sana. Tapi di sini, Habibah mempunyai cermin besar persis sliding door di rumah anak yatim. Habibah mengerling beg bajunya yang tidak sebesar mana, yang hanya memuatkan beberapa helai pakaian dan alat keperluan asasnya. Sebenarnya, dia malu untuk mengeluarkan barang-barangnya kerana mereka tdiak layak untuk ditempatkan di almari itu. Habibah malu. Habibah menangkap mata Qassif Daniel yang khusyuk memandangnya. Akhirnya dia sendiri tertunduk malu.

********

Hati wanita mana yang tidak menggelodak melalui malam pertama mereka. Apatah lagi Habibah, dengan suami yang ditemui di rumah anak yatim lebih kurang dua minggu lepas, kini menjadi suaminya bagaikan semua tak menyempat, lelaki itu ingin menikahinya dengan tergesa-gesa. Habibah sendiri pelik, biasanya orang ingin berkahwin cepat-cepat disebabkan berlakunya perkara-perkara yang ‘tidak disengajakan’. Namun dalam kes mereka, Habibah sendiri merasa pelik. 

Walaupun majlis perkahwinan mereka teramat ringkas, hanya upacara akad nikah di masjid, namun segalanya telah menjadi halal di sisi agama. Habibah menlepaskan keluhan demi keluhan, keluhan yang paling berat adalah untuk Rayyan yang entah di mana, dia tahu pintu untuk lelaki itu tidak boleh dibuka lagi, keluhan seterusnya untuk Qassif Daniel, apa agaknya nasib lelaki itu menjadi suamiku itu? Erm… atau soalan yang lebih afdal ialah, siapakah lelaki itu? Haih… keluhan ini untuk diriku.
Habibah bungkam ditinggalkan seorang diri di bilik mewah itu. Qassif Daniel meminta diri untuk keluar sebentar dan berjanji untuk kembali seketika nanti. Imaginasi nakal Habibah mula memainkan peranan dan dia tersenyum sendiri. Dia membayangkan Qassif Daniel masuk dengan sejambak bunga, menghadiahkan kepadanya dengan senyuman manis, mengucup lembut pipinya dan dengan memeluk pinggangnya dengan aksi romantik. Habibah merebahkan dirinya ke tilam lembut dan bermain dengan anak rambutnya.

“Bibah!”

Habibah terbangun dan duduk serta merta. Malunya! Alangkah malu! Pasti Qassif Daniel melihat kebodohannya sebenta tadi. Bila pulak dia ni masuk?

“Sa..saya!” Habibah menelan air liur.

Qassif Daniel tersenyum. Aduhai… cair juga hatinya Habibah. Tapi kenapa senyuman itu mempunyai iras senyuman…. Senyuman Rayyan?

“Kita kena berbincang.” Lembut suara lelaki itu. Dia merapatkan duduknya di samping Habibah, Habibah kian gementar. 

“Ini…” Qassif Daniel menghulurkan sampul surat bersaiz A4 kepadanya, dia menyambutnya.

“Bukalah, dan baca baik-baik!”

Habibah membukanya perlahan dan matanya mengamati bait-bait perkataan satu persatu. Darahnya bergemuruh tiba-tiba. Nafasnya turun naik, saat itu, wajah Ibu Salbiah sahaja yang terbayang di ruang matanya.

“Bibah yakin ke untuk terima lamaran Qassif?”

“Bibah terpaksa ibu, kalau ini yang boleh melupakan Rayyan.”

“Tapi Bibah masih muda sayang…”

“Tapi ibu juga yang kata Bibah dah dewasa kan ibu?”

“Iya, tapi belum cukup dewasa untuk kehidupan baru itu nanti…”

“Tak apa ibu, Bibah yakin Bibah boleh.”

“Tapi… tapi hati ibu tak sedap Bibah….”

Ibu… firasat dan suara hati seorang ibu memang betul. Semua ini telah dirancang rupanya. Padanlah dia tidak melihat ahli keluarga Qassif di majlis nikah tadi, hanya Fakhrul yang menurut Qassif Daniel adalah merupakan teman rapatnya. Padanlah dia tidak melihat orang lain di majlis tadi, padanlah Qassif begitu tergesa-gesa. Padanlah… Ahhh! memang padan muka aku!

Ibu, hati Bibah terluka lagi ibu. Tapi ada bezanya dengan luka Rayyan, dengan Rayyan Bibah masih boleh berlari, dengan dengan Qassif, Bibah dah terikat!Ibu…. kolam mata Habibah mula terasa panas.


BERSAMBUNG

1 comment: