Monday, August 5, 2013

Isteri Kontrak :: Bab 1



Nama saya Habibah. Habibah binti Derus. Biasanya saya dipanggil dengan nama singkatan, Bibah.
Saya anak yatim piatu, saya tidak mengingati walau sedetik pun kenangan di kampung halaman saya, kerana apabila deria saya memperkenalkan saya kepada alam sekitar, saya telah pun berada di rumah anak jagaan anak-anak yatim. Makcik Salbiah, dialah yang saya kenali sebagai ibu yang membesarkan dan menjaga saya di rumah jagaan anak-anak yatim itu, sehingga kini saya masih mengunjunginya di Rumah anak yatim Seri Kenangan, terlalu banyak kenangan saya terpatri di rumah itu. Kepada Makcik Salbiah, saya luahkan segala masalah dan perasaan saya, dia seorang wanita lembut yang sangat penyayang, saya amat sayangkan dia, dan saya memanggil dia, Ibu.

Cerita suka duka saya tidak hanya bermula dan berakhir di Rumah Anak Yatim Seri Kenangan, namun jalan hidup yang lebih mencabar saya lalui ketika melanjutkan pengajian saya di Universiti Putra Malaysia. Oh ya, saya seorang pelajar yang bernasib baik di dalam pelajaran, mungkin disebabkan semangat yang tidak pernah luntur dan hajat untuk mengubah nasib diri sangat kental di dalam jiwa saya, telah menjadi pembakar semangat yang kuat untuk saya mendapatkan keputusan yang cemerlang. Saya bersyukur kerana saya mendapat biasiswa dari Setia Waja Holdings, sebuah syarikat konglomerat di Malaysia untuk saya meniti impian di menara gading.

Namun, di menara gading itulah, saya tidak hanya meletakkan hati saya pada cita-cita saya, namun hati saya turut terletak elok pada hati seorang jejaka yang bernama Rayyan Sulaiman. Hati remaja saya terpaut padanya, di asrama anak yatim, pergaulan kami agak terbatas, namun di universiti jiwa gadis saya mula memperlihatkan tuannya, dan saya bersyukur kerana ada sekelumit rasa cinta di dalam hati saya yang lahir untuk kaum adam itu. Rayyan, insan yang berjaya memenangi hati saya, pada mulanya dia hanyalah tutor kami, dia sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Phd dan tengah menjalankan kajiannya, kebetulan Prof. Salleh,pensyarah Statistik meminta dia membantu beliau, dan di sanalah kami berkenalan, dipendekkan cerita, dia mula berminat untuk menjalinkan hubungan rapat dengan saya selepas saya bercerita tentang diri saya, cita-cita saya dan impian saya. Beliau banyak membantu dan membimbing saya sepanjang pengajian saya di sana, dan secupak hati saya benar-benar melonjak setinggi langit biru, indah dan mengasyikkan. Biasalah hati insan yang tengah berkasih, mestilah berbunga.

Pada malam sebelum konvokesyen saya selepas menamatkan pelajaran empat tahun kemudian, kami berjumpa dan Rayyan memberikan saya sejambak bunga bersama sekotak hadiah, dia mengarah saya membuka kotak hadiah itu pada malam berikutnya. Rayyan berkata dia ingin menjadi insan yang terawal memberikan bunga kepada saya, saya terharu. 

Rayyan akhirnya tidak hadir pada hari konvokesyen saya. Saya melakar sejarah keghaiban dan kehilangannya selepas itu. Saya mendapat kegembiraan yang terbesar pada hari itu, sekaligus mendapat kesedihan dan kehilangan yang teramat pada hari itu. 

Kotak hadiah bewarna hijau pucuk pisang saya buka pada malam itu, ternyata Rayyan telah membuat persediaan dan merancang pemergiannya dalam hidup saya, untuk meneruskan hidup dengan pilihan hatinya yang sebenar. Dia meninggalkan sekeping nota dan sebuah diari kosong di dalam kotak itu. Apakah simboliknya? Rayyan sebenarnya telah bertunang dan bakal berkahwin tidak lama lagi. Selama ini dia sebenarnya bersimpati dengan nasib anak yatim ini, dan tergerak untuk menjadi pembakar semangat saya, dia menyayangi saya hanya seperti adiknya sendiri, dia ingin melihat saya berjaya dan itulah impian dia, dia meminta agar saya tidak mencarinya atau merinduinya lagi, sebuah diari kosong ditinggalkan untuk saya mencoretkan perasaan kerana dia tiada lagi disisi untuk mendengar celoteh saya. Terima kasih Rayyan, kehadiranmu memang membakar semangat saya selama ini, tapi tahukah engkau, kehilanganmu seakan-akan membakar diri ini akhirnya. Saya kecewa dan teramat kecewa, air mata saya sehingga kini tidak pernah kering untuk menangisi nasib diri, Ibu Salbiah terus menjadi tempat untuk menumpahkan hati yang lara, dan kehadirat Tuhan saya panjatkan segala kedukaan saya. Sampai hati kau Rayyan, namun saya tetap titipkan doa kebahagiaan untuk dia. 

Satu hari, saya dilamar oleh seorang anak muda ketika beliau datang menyerahkan sumbangan di Rumah Anak Yatim Seri Kenangan, kebetulan saya pun berada di sana pada ketika itu. Oh Tuhan, jangan salahkan saya kerana kekhilafan saya, sebab pada ketika itu ada sejalur kelegaan di dalam hati saya, saya tidak pasti apalah perasaan itu, saya tidak pasti bagaimana masa depan saya nanti berkahwin dengan orang yang saya tidak kenali, saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin dalam usia 23 tahun kerana selama saya berkawan dengan Rayyan, dia tidak pernah pun berbicara tentang isu kahwin. Saya betul-betul keliru dan buntu, namun belum pun 10 minit berlalu pemuda itu melamar saya, saya mengangguk kepala dengan tenang. Ibu Salbiah nyaris pengsan.
Detik itu membawa saya ke kehidupan baru saya, tanggungjawab besar yang harus dipikul, satu langkah yang bakal menamatkan harapan saya pada Rayyan, status baru sebagai seorang Isteri Kontrak, kerana perkahwinan kami tertakluk kepada terma dan syarat.

BERSAMBUNG

No comments:

Post a Comment