Cinta adalah sesuatu yang sangat subjektif.
Cinta wajar untuk dimiliki namun mestikah ia harus dimiliki? Cinta suci lahir dari hati dan hati tidak dapat membohongi dan dibohongi, apa yang lahir dari hati adalah sesuatu yang amat jujur sekali. Cinta kadangkala terlalu misteri dan sering mengelirukan, namun kejujuran cinta adalah menjadi kunci dan janji kearah kebahagiaan.
Cinta bukan sesuatu yang menjadi bahan pertunjukan, cinta ikhlas akan menampakkan pergerakan dari si pelaku, cinta yang bukan dipaksa-paksa dan benar-benar wujud. Cinta dan hati harus seiring, hati tidak akan membohongi cinta.
Namun, bukan semua orang ditakdirkan bertuah untuk memiliki cinta yang sejati. Cinta sering dijadikan alasan untuk mewujudkan pengorbanan, cinta memang memerlukan pengorbanan namun pengorbanan tidak semestinya mengarah kepada penderitaan dan kesakitan. Pengorbanan tidak menjamin kebahagiaan cinta dan kesakitan tidak memutuskan cinta untuk dihentikan.
Saling menerima seadanya, bertolak ansur dalam segala hal, menghormati pasangan masing-masing dan tidak mewujudkan prasangka negatif pada pasangan masing-masing mampu melayakkan cinta untuk terus wujud. Keupayaan untuk menjiwai orang yang dicintai menjadi bonus di dalam perhubungan, kekurangan pasangan tidak harus dijadikan perbalahan dan usaha untuk mendalami perasaan orang yang disayangi akan membuatkan cinta lebih bermakna, cinta adalah untuk mengenal hati dan mendalami perasaan pasangan orang yang 'dicintai'.
Bercinta bukan sahaja pada peringkat mengenali hati budi namun harus diteruskan selepas perkahwinan dan pada saat anak-anak dilahirkan. Cinta juga harus sentiasa berseri pada usia perkahwinan yang semakin meningkat, cinta tidak harus dimatikan ketika orang yang disayangi dijemput Ilahi. Cinta tidak boleh diendahkan pada saat hati terluka. Cinta harus sentiasa menyulam kasih dan meniti di sanubari.
Mencintai tidak sesusah dicintai. Manusia senang merasa untuk mencintai namun ada kalanya tidak/suka untuk dicintai, bukan bertepuk sebelah tangan namun masanya mungkin belum tiba lagi. Namun sekali cinta menjengah, itulah dia yang sebenarnya. Bebahagialah mereka yang mencintai dan dicintai pada masa yang sama, kerana milikmu itu kebahagiaan yang hakiki, siapa pula yang ingin menolak kebahagiaan? Buat mereka yang masih mengejar cinta, usah khuatir, masamu akan tiba jua, dia yang ditakdirkan untukmu tidak akan kemana.
Cinta tidak akan mati selagi kita membenarkan ia membawanya di sepanjang hidup kita. Cinta sebenar ialah cinta yang dibawa mati.
# Nukilan hati selepas menonton filem Ombak Rindu.
No comments:
Post a Comment