Thursday, February 13, 2014

Isteri Kontrak :: Bab 24

Update :

Saya mengedit entri ini dari LCCT hehe...
Charm Charm and mommy are going to board the plane very soon.
Daddy is away having his brainstorming session with his colleagues in Port Dickson.
This is going to be the first experience for mommy and charmy without daddy around, sobs.

Take care daddy, we love you more than you can imagine!
----------------------------------------


Hari ini kelam kabut, sebab kejap lagi  akan ke airport.
Enjoy your reading :)

______________________________



“Daniel serius ke?”

Qassif Daniel hanya mengangguk lemah, wajah lembut Datin Zubaidah turut dipandang sepi. Keputusan bulat dicapai, dia dan Sophia Ezara tetap akan meneruskan pernikahan mereka.

“Daniel tak menyesal?”

Qassif Daniel menggeleng lemah.

“Kenapa tidak ambil masa sedikit, renungkan dan fikirkan kembali?” Datin Zubaidah tidak pernah jemu memujuk, hampir saban hari dia menghujani Qassif Daniel dengan pelbagai soalan dengan harapan agar Qassif Daniel mengubah fikirannya. Sebagai ibu, dia sangat memahami keadaan  Qassif Daniel, tentunya anak bongsunya itu sedang berselubung dengan masalah, masalah yang tidak pernah diketahuinya.

Kepulangan mendadak Qassif Daniel ke rumah mereka menimbulkan sejuta persoalan. Setelah hampir tiga bulan tinggal bersama Habibah, tiba-tiba anaknya itu balik ke rumah dan lebih memeranjatkan pada malam itu juga, Qassif Daniel menyatakan hasratnya untuk bernikah dengan Sophia Ezara. Apa telah terjadi?

Datuk Mansor tetap dengan lagak tenangnya, namun di dasar hati Datin Zubaidah, dia kenal benar dengan suaminya, jiwa suaminya pasti bergelodak. Meskipun suaminya tidak berkenan dengan pernikahan Qassif Daniel dan Habibah, tapi suaminya juga tidak mungkin berkenan dengan Qassif Daniel dan Sophia Ezara, mungkin hatinya berkenan dengan jodoh Qassif Daniel dengan Sophia Ezara, tapi cara mereka itu yang dia tidak berkenan.

Qassif Daniel nampaknya tergesa-gesa untuk menikahi Sophia Ezara. Tapi mengapa?

Datuk Mansor melepaskan keluhan berat. Di bilik bacanya yang luas itu dan tersusun rapi, dia merasakan kesukaran untuk bernafas. Nafasnya seolah-olah tersangkut di dada dan dia hanya mampu menarik dan menghembusnya satu persatu. Dadanya penuh sarat dengan satu perasaan aneh, perasaan yang sukar untuk dilepaskan. Matanya mencantas wajah tulus Habibah. Wanita itu seakan-akan ingin menjauhinya, mungkin sebab sikap dinginnya dari pertemuan pertama mereka, wanita itu akhirnya mengambil keputusan untuk menjauhinya. Tapi jelas habibah melayan mesra isterinya, Datin Habibah. Tapi, apa sebenarnya perasaannya tiada siapa yang dapat menjangka, seperti dirinya juga yang tidak menjangka keputusan mendadak Qassif Daniel untuk menikahi Habibah, ditambah lagi yang terbaru keputusan tiba-tiba Qassif Daniel untuk bernikah lagi, Datuk Mansor memicit-micit kepalanya yang tidak pening, tetapi berserabut.

“Abang?” Suara lembut yang menemaninya lebih tiga puluh lima tahun bergema lembut di cuping telinganya, pantas dia menoleh, wajah lembut Datin Zubaidah menerpa ruangan mata. Dia akui, sejak akhir-akhir ini hubungan mereka suami isteri amat renggang, tidak seperti dahulu, mesra dan bersahaja, namun sejak akhir-akhir ini, kedua-dua mereka bagaikan menghidupkan watak di dalam drama kehidupan. Bukan ego, bukan… tapi sekadar menjalankan kewajipan masing-masing tanpa melukakan perasaan sesama sendiri. 

“Apa yang abang fikirkan?” Datin Zubaidah melabuhkan punggung di sofa bersebelahan dengannya. Wajah isterinya ditenung lama.

“Abang fikirkan Daniel, kan?”

Lama akhirnya Datuk Mansor menganggukkan kepala. Datin Zubaidah kemudiannya mendengus lemah. Wajahnya terpancar kerisauan yang amat.

“Abang banyak berdiam diri, kenapa abang tak luahkan apa yang berbuku di fikiran abang tu pada Daniel?” Datin Zubaidah bersuara hiba.

Datuk Mansor sekadar membalas dengan merenung isterinya. Datin Zubaidah akhirnya naik rimas, segera dia bangkit dari tempat duduknya dan ingin membawa duka hatinya sama keluar dari bilik bacaaan suaminya. Sepantas kilat langkahnya terhenti apabila Datuk Mansor meraih tangannya.

Datin Zubaidah memandang wajah lesu Datuk Mansor, betapa baru disedari air muka suaminya yang amat merundum, pandangan matanya sepi dan tidak bermaya, sudah lama dia mengelak dari menatap wajah itu lama-lama dan hari ini, dapat dia melihat kesedihan yang berlubuk di wajah lelaki yang amat dicintainya.

“Duduk…” pinta Datuk Mansor. Datin Zubaidah kebingungan.

“Duduk!” Datuk Mansor bersuara lagi. Akhirnya Datin Zubaidah menurut, sekali lagi punggungnya dihenyakkan di sofa.

“Abang, Zu nak minta maaf…” Sayu hati Datin Zubaidah memandang wajah lemah Datuk Mansor, dia merasa sungguh bersalah kerana asyik menghiraukan suaminya sejak akhir-akhir ini. Hati seorang isteri mana yang tidak sayu apabila menyedari betapa dia telah mengabaikan suami yang selama tiga puluh lima tahun didampinginya.

“Abang…” Datin Zubaidah menyeru lagi, dengan suara yang sedikit serak.

Datuk Mansor mangangkat wajah dan merenung wajah isteri kesayangannya, wajah itu sudah dimamah usia namun sifat lembut isterinya yang menghambat hatinya tidak pernah luntur. 

“Abang maafkan Zu…” Air mata Datin Zubaidah akhirnya berderai, rasa bersalah di sudut hati ditambah pula dengan masalah Daniel benar-benar menghambat hatinya kini. Perasaan-perasaan yang disimpan sekian lama perlahan-lahan melonjak-lonjak keluar dari peti hatinya, seribu satu perasaan yang membuatkan nafasnya sesak dan menghempas tangkai hatinya. Datin Zubaidah sudah tidak larat untuk menanggungnya seorang diri.

“Sayang…” Lembut suara Datuk Mansor menghembus cuping telinganya. Hati wanitanya tersentuh dan tersenyum, sudah lama panggilan itu tidak menjamah cuping telinganya.

“Sayang, abang juga minta maaf!” Jari jemari Datin Zubaidah kini berada di dalam genggaman Datuk Mansor. 

“Bukan abang sengaja untuk mengendahkan semua masalah ini, tapi abang bingung sejak beberapa bulan yang lepas,” Datuk Mansor menelan air liurnya.

“Abang buntu sebaik sahaja Daniel memberitahu abang yang dia dah bernikah, abang terkilan kerana dia membelakangkan kita sebagai keluargan,” wajah keruh Datuk Mansor dipandang lama, Datin Zubaidah mengurut dadanya, perasaan pilu dan serba salah menguasai secara bersilih ganti. 

Selama ini, Datin Zubaidah menyangka suaminya merestui perkahwinan anak bongsu mereka dengan Habibah semata-mata kerana harta peninggalan bapa mertuanya. Ternyata, perkahwinan mereka selama tiga puluh lima tahun masih belum cukup untuk dia mengenal hati budi suaminya.

“Maafkan Zu bang,” Datin Zubaidah memeluk erat suaminya. Dia tidak ingat bila kali terakhir dia memeluk suaminya namun mungkin agak lama kerana susuk tubuh suaminya agak susut. Susuk badan Datuk Mansor agak besar dan tinggi.

“Abang sendiri buntu Zu,” tutur Datuk Mansor perlahan, tangannya memaut lembut tubuh isteri yang sangat dicintainya.

Datuk Mansor yang mendampingi hidupnya selama tiga puluh lima tahun, menyulam kasih dengannya di dalam pahit maung rumahtangga mereka, yang begitu setia dan cintakan dia, yang menjadikan dia seorang isteri yang dipandang tinggi serta dihormati oleh kawan-kawan rapat mereka dan juga di kalangan pekerja mereka, lelaki yang telah mengubah kehidupannya dan membawa dia keluar dari kepompong silam hingga meletakkan dia di atas dunia yang dia sendiri tidak pernah gambarkan di masa kecilnya, seorang suami yang mengisi kegembiraan di hidupnya dan menyerikan lagi alam kewanitaannya dengan tiga orang cahaya mata. Namun akhirnya, dia mempunyai prasangka yang tidak baik pada lelaki itu, lelaki yang disangkanya sanggup menghalalkan perlakuan anaknya semata-mata untuk legasi keluarganya…

“Zu benar-benar tak tahu bang…” air mata seorang isteri yang setia akhirnya tumpah jua.


*****


Baby Puan sihat, masuk dua belas minggu dah ni,” Doktor Amna menggerakkan pengimbas di perut Habibah, sesekali dia menekan sedikit untuk melihat secara tepat perkembangan bayi.

Habibah memanjatkan kesyukurannya. Bibirnya mengukir senyum bahagia.

Habibah membetulkan pakaiannya, perlahan dia turun dari katil sambil tangannya dipimpin oleh Doktor Amna. Setelah mengenakan sandal di kaki, di menapak ke arah meja Doktor Amna dan melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Doktor Amna.

Doktor Amna tekun meneliti fail rekod kesihatan milik Habibah. Sesekali kepalanya mengangguk dan sesekali dahinya berkerut. Kerutan itu menimbulkan sedikit kegusaran di hati Habibah, dalam diam, dia mendoakan agar semuanya selamat. Perutnya diusap lembut, walaupun belum ada gerakan dirasakannya, namun dia tahu bayinya pasti tahu akan kegembirannya sebagai ibu.

Mama akan menjagamu sayang, jangan risau. Bisik hatinya perlahan.

“Puan Habibah, bayi Puan cukup sihat dan membesar dengan baik, beratnya juga normal, cuma…”

“Cuma apa doktor?”

Doktor Amna tersenyum sedikit.

“Berat Puan tidak banyak berubah … adakah selera Puan baik?”

Habibah terdiam sejenak.

“Saya rasa saya makan mengikut sukatan biasa doktor,” ujar Habibah lembut. 

Doktor Amna menganggukan kepalanya.

“Kalau boleh, Puan kena tambahkan berat badan sedikit, walaupun baby membesar dengan sihat, ibu juga kena cukup vitamin dan kena cukup kuat, selain untuk stamina, ia juga penting agar zat-zat ibu tak sepenuhnya diserap oleh bayi. Kita nak kedua-dua ibu dan anak sihat,” tutur kata Doktor Amna yang lembut mendamaikan hati Habibah.

“Satu lagi, tekanan darah Puan agak tinggi, adakah Puan bekerja?”

Habibah sekadar menggelengkan kepala.

“Puan kena banyak berehat dan kurangkan berfikir masalah yang boleh memudaratkan kesihatan Puan, ini semua untuk kebaikan bayi Puan.”

Habibah mengeluh.

Doktor Amna memandang wajah Habibah dengan penuh belas. Rayyan, teman seperjuangan semasa di bangku sekolah telah membawa Habibah kepadanya dan memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya. Doktor Amna merupakan Doktor Pakar Sakit Puan dan kini bekerja dengan Hospital Damai Indah, sebuah hospital swasta terkemuka yang banyak dikunjungi oleh golongan elit.

Rayyan dan Farrah mahukan kebajikan Habibah dijaga sepenuhnya. Perbuatan Qassif Daniel yang mengabaikan isterinya sejak sebulan yang lalu tidak memberikan banyak pilihan kepada mereka, mereka harus menjaga dan melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap Habibah. 

“Saya akan membekalkan vitamin kepada Puan, Puan harus mengambilnya setiap hari mulai hari ini, sebiji sehari selepas makan, okey Puan?” 

Wajah manis Doktor Amna yang lemah lembut itu dipandang mesra, Habibah menganggukkan kepalanya.

“Ada apa-apa yang Puan nak tanya?”

Habibah berfikir sejenak, namun di kepalanya terbayang wajah sepasang suami isteri dan seorang pembantu peribadi yang selama ini banyak memberinya sokongan.

“Tiada apa-apa…”

“Okey, tapi kalau ada apa-apa masalah, Puan boleh hubungi saya,” Doktor Amna memberikan senyumannya, seolah-olah memberikan keyakinan kepada Habibah bahawa bakal ibu itu boleh mempercayai kepakarannya. 

Habibah turut sama membalas senyuman doktor jelita itu, hatinya bersyukur, walaupun seringkali dirundung masalah, Tuhan masih memberikan dia kekuatan melalui mereka-mereka ini yang setia berada di sampingnya.
Sebaik sahaja tombol pintu bilik Doktor Amna dipulas, Maya dan Farrah yang sentiasa menanti di luar menerpanya, persis kanak-kanak kecil yang mahukan gula-gula dari si ibu, hati Habibah dijentik gelihati.

Baby okey ke?” Soal Maya tidak sabar sambil tangannya mengelus lembut perut Habibah.

“Doktor cakap apa?” Sampuk Farrah tidak sabar.

Habibah tertawa lucu dengan sikap mereka. Sengaja dia tidak mahu mereka masuk bersamanya sebab dia inginkan saat privasi bersama Doktor Amna.

“Dah nampak ke jantinanya?” Amboi Rayyan turut menyibukkan diri. Farrah tersengih mendengar pertanyaan suaminya.

“Huh sibuk!” Omel Maya.

Habibah tertawa senang.

“Baby okey, beratnya normal, dah masuk empat bulan,” ujar Habibah lembut, tangannya secara otomatik diletakkan di perut. Semua mata tertumpu pada tangan Habibah.

Habibah tersenyum lagi.

“Cuma…” suara Habibah terhenti, semua mata memandangnya tanpa berkelip. Jantung Rayyan berdegup melihat perubahan wajah Habibah yang tiba-tiba.

“Cuma apa?” Gesa Farrah, suaranya bernada risau.

“Cuma… erm… doktor kata, Bibah kena makan lebih sikit, sebab berat Bibah tak berubah!”

Wajah ketiga-tiga manusia di hadapan Habibah merengus kelegaan. Rayyan menelan air liurnya buat kesekian kali, risau sungguh hatinya sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, lebih-lebih lagi dalam keadaan Habibah sekarang ini.

“Jom!”

 Farrah merangkul lengan Habibah dan mengheretnya keluar dari klinik. Maya yang panik dengan perlakuan Farrah segera mengejar mereka.

“Hei, hei Farrah!” Mata Maya membulat sambil cuba menghalang Farrah. Rayyan yang diam sejak tadi turut mengejar.

You nak bawa dia pergi mana?”

Farrah merenung wajah Maya, dari raut wajah itu Farrah faham betapa Maya juga sangat mengambil berat dan risaukan Habibah. Habibah yang kebingungan dengan tindakan Farrah yang tiba-tiba juga menantikan jawapan dari bibir wanita itu.

“Tak ada kemana pun Miss Maya,” ejek Farrah sambil tersengih.

“Habis tu?” Maya masih tidak berpuas hati.

I nak bawa dia ni pergi makan sajalah, kenapa? Tak boleh?” Selamba Farrah mengenakan Maya.

Sinar mata Maya tampak bercahaya. Lantas lengan Farrah dicubit geram, Farrah menyeringai kesakitan. Habibah hanya tertawa melihat kedua mereka.

“Ahem!”

Semua mata memandang Rayyan serentak.

“Shall we?”

Ketiga pasang mata mengerlip sambil kepala mereka mengangguk laju.


[BERSAMBUNG]


8 comments:

  1. Ok...pasangan veteran bercinta. Sangat touching....menusuk kalbu.

    ReplyDelete
  2. TQVM val....walaupun once a week berbaloi menunggu new chapter every friday.....

    ReplyDelete
  3. Walaupun Qasief mengabaikan Habibah saya teruja melihat penerimaan dan tanggungjawab Rayyan, Farah dan Maya terhadap Habibah. Bila mereka berempat dah macam cerita madu 3 plak...hehehe. Saya harap Habibah dapat anak lelaki supaya dapat membuka hati bapa mertuanya dan Qasief sendiri.

    ReplyDelete
  4. Adoh.........terujanya utk menunggu next friday. Penantian Satu penyeksaan, rasanya macam tak sabar menunggu sebuah buku diedarkan. Semoga berbaloi akhirnya.....

    ReplyDelete
  5. alah val mahu lagi bah ndak cukup nie......:)

    ReplyDelete
  6. rase cam pendek sgt la every bab... x puas bace

    ReplyDelete