Monday, December 9, 2013

Isteri Kontrak :: Bab 16



Datin Zubaidah meletakkan gagang telefon yang berupa antik itu. Hatinya sedikit melonjak keriangan, suara anaknya Qassif Daniel begitu bahagia sebentar tadi, dan apa yang paling mengujanya ialah, Qassif Daniel bersama dengan isteri yang dinikahinya, Habibah, Datin Zubaidah memanjatkan kesyukuran di dalam hati kecilnya. Doanya agar anaknya itu akan dapat menerima Habibah sepenuhnya, dia sendiri tidak pernah kisah siapa pun yang menjadi menantunya, apa kurangnya Habibah? Gadis itu telus dan sungguh tertib, tidak banyak cakap dan sangat menghormati orang tua.

Gadis itu sebenarnya banyak mengingatkan dia pada seseorang, seorang rakan lama semasa menuntut di bangku sekolah, Mariam! Sikapnya, senyumannya, tutur katanya saling tak tumpah, Datin Zubaidah pernah berniat untuk bertanyakan tentang itu pada Habibah, namun amat mustahil sekali sekiranya Habibah itu anaknya Mariam, kerana Habibah anak yatim piatu. Takut menggores hati Habibah.

“Zu?”

Datin Zubaidah sedikit tersentak. Tidak disedari kehadiran Mak Jah. Mak Jah hanya memanggil Datin Zubaidah dengan gelaran Zu kerana telah terbiasa dari bangku sekolah lagi, mereka bertiga, Zubaidah, Halijah dan Mariam memang rapat sekali, mereka membesar dan bersekolah bersama. Mariam akhirnya berpindah kampung kerana bapanya yang merupakan seorang anggota polis dipindahkan. Tinggallah Datin Zubaidah dan Mak Jah. Mariam sangat baik dan saling membantu mereka berdua, terutama dari segi pelajaran, Mariam pelajar yang pintar.

Datin Zubaidah dan Mak Jah berasal dari keluarga yang cukup susah. Keluarga mereka diibaratkan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Datin Zubaidah amat bertuah kerana cemerlang dan ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajarang ke London, di sanalah dia bertemu dengan Datuk Mansor, mereka bercinta dan berkahwin sekembali dari London.

Mak Jah berkahwin dengan Pak Jamal, dan Datin Zubaidah menawarkan agar Mak Jah membantunya, dan Pak Jamal juga telah berkhidmat dengan keluarga Datuk Mansor lebih dari dua puluh tahun. Berita Mariam terkubur begitu sahaja.

“Zu sakit ke?”

Sekali lagi Datin Zubaidah tersentak. Kemudian dia menggeleng sambil tersenyum.

“Zu nak Jah buatkan minuman panas?”

“Boleh juga,” ujar Datin Zubaidah dan kemudian mengekori langkah Mak Jah ke dapur.

“Zu belum mengantuk ke?” Mak Jah meletakkan secawan milo panas di hadapan Datin Zubaidah.

“Tak mengantuk lagi Jah,” Datin Zubaidah mengangkat cawan dan menyisipnya sedikit. “Zu teringatkan Yam.”

Giliran Mak Jah tersentak. Ya sudah lebih tiga puluh tahun mereka terpisah namun nama Mariam tetap tersemat di hati masing-masing.

“Entah di mana dia sekarang kan…” lemah suara Datin Zubaidah.

“Kalau ada rezeki, pasti kita akan jumpa dia semula,” Mak Jah memujuk Datin Zubaidah, dia tahu betapa lembutnya hati Datin Zubaidah yang amat menyayangi sahabat-sahabatnya, kerana Datin Zubaidah jugalah, dia beroleh hidup yang agak senang. Sahabatnya itu telah banyak membantu dia.

“Jah, apa pendapat kau tentang Habibah?” Soal Datin Zubaidah tiba-tiba, Mak Jah yang sedang melayan kenangan silam tersentak buat kesekian kalinya.

“Bibah… dia budak baik.”

“Baik… baik yang macam mana?”

“Budaknya memang baik dibuat isteri, dia pandai jaga diri dan jaga tingkah dan jaga solat!”

Datin Zubaidah tersenyum bangga, walaupun menjadi isteri ‘bidan terjun’ namun Habibah memang anugerah Tuhan yang sangat ajaib buat Qassif Daniel.

“Tapi…” Mak Jah terhenti seketika, takut apa yang bakal diperkatakan bakal melukai hati majikannya.

“Tapi apa Jah?”

Mak Jah merenung tepat anak mata Datin Zubaidah, dia menguatkan hati untuk meluahkan apa yang berbuku di hatinya.

“Tapi Jah rasa, Daniel tak sungguh-sungguh sangat dengan Habibah tu,” suara Mak Jah sedikit kesal.
Datin Zubaidah tersenyum.

“Kita doakan yang terbaik untuk budak-budak tu, Insyaallah ada rezeki mereka sebagai suami isteri,” ucap Datin Zubaidah penuh keyakinan.

“Harap-harap macam begitulah, Habibah tu budak yang baik. Sayang sekali kalau Daniel lepaskan dia.”

Datin Zubaidah menelan air liur mendengar kata-kata Mak Jah. Habibah tidak akan dilepaskan, walaupun Qassif Daniel hendak mengahwini Sophia Ezara, dia akan pastikan Habibah tetap menjadi isteri Qassif Daniel.

“Pada mulanya memang Zu tak berkenankan tindakan Daniel tu…” Datin Zubaidah berhenti seketika sambil memandang lembut wajah Mak Jah, “Tapi lepas berjumpa dengan Bibah hari tu, hati Zu macam dicarik-carik, tak nak lepaskan dia.”

“Habis tu, kenapa Zu tak minta dia duduk dengan Zu kat sini?”

Datin Zubaidah terdiam sambil melepaskan keluhan perlahan.

“Zu tak suka dia duduk kat sini ke?”

“Bukan macam tu Jah…”

“Habis tu?”

“Sebenarnya Datuk yang masih belum dapat terima dia sepenuhnya, Datuk masih malu dengan Tan Sri Adnan tu, iyalah kan, bercinta bagai nak rak si Zara dengan Daniel, kahwinnya tiba-tiba dengan orang lain,” luah Datin Zubaidah.

“Hah yang si Daniel tu, kenapa masih terikat dengan si Zara?”

Mak Jah sebenarnya tidak rapat dengan Sophia Ezara sebab wanita itu memang membina jurang di antara mereka berdua, wanita itu bukan sombong cuma tidak mesra bergaul dengan sebarang orang. 

“Tapikan Jah… Habibah tu saling tak tumpah seperti Mariam, kan?”

Mak Jah berfikir sejenak sebelum mencari anak mata Datin Zubaidah.

“Iyalah Zu, memang mereka seperti pelanduk dua serupa!”


*****


Qassif Daniel seperti tidak percaya yang dia sendiri melanggar perjanjian dirinya, namun dia tahu dia punya hak sebagai suami dan Habibah adalah isterinya yang halal. Dia merenung wajah polos Habibah yang lelap disampingnya, cahaya malap lampu meja menyuluh samar wajah Habibah, isteri yang dinikahinya hanya untuk menyelamatkan maruah keluarganya, namun semakin hari wanita itu kian melekat di hatinya. Qassif Daniel mengelus lembut wajah polos itu, buat kesekian kalinya, dahi licin itu dikucupnya lama.

Qassif Daniel bangkit dari perbaringannya dan mencapai pakaiannya, selepas mengenakan pakaian di melangkah ke ruang tamu, menghumbankan diri ke sofa merah hati, mencapai alat kawalan TV dan menekan punat Astro siaran HBO, kemudiannya ditukarnya lagi, dan ditukarnya lagi beberapa kali, tiada rancangan yang menarik perhatiannya. 

Qassif Daniel kemudiannya bersandar dan anak matanya dihalakan ke siling, berdosakah aku pada Sophia Ezara? Jerit hatinya. 

Dia melakukan perkara yang paling ditakutinya iaitu membandingkan kedua wanita di dalam hidupnya kini, menyesalkan aku memperisterikan Habibah? Tapi Sophia Ezara sendiri menyatakan persetujuannya kerana wanita itu belum bersedia untuk berkahwin, dengan syarat Qassif Daniel tidak boleh mempunyai apa-apa perasaan terhadap sesiapa pun wanita yang dipilih oleh Qassif Daniel.

I takkan kahwin dengan you semata-mata untuk menyelamatkan legasi keluarga you!” Bentak Sophia Ezara tidak lama dulu ketika mereka sedang menyantap makan malam di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. 

“Tapi I kena berkahwin sebelum umur I mencecah tiga puluh tahun, you pun tahukan wasiat datuk I?”
“Kenapa datuk you nak buat syarat seperti itu? That is too childish? Can’t you just demolish it?” Soal Sophia Ezara dengan nada sinis. 

“How I wish I could, but I can’t!” Qassif Daniel tetap berusaha untuk memujuk kekasih hatinya itu, namun ego wanita itu terlalu tinggi.

I tak bersedia!”

Qassif Daniel mendengus kecewa.

“Apa lagi yang you tak dapat lagi? You dah ada segala-galanya…”

I cuma belum bersedia untuk bergelar seorang isteri.”

“Umur kita dah makin lewat Zara…”

“Kenapa you nak persoalkan umur kita sekarang, why are you being so conservative right now?

Okey I am sorry…” Qassif Daniel mengangkat kedua-dua tangannya, selera makannya hampir mati.

“Nothing can be done to change my decision baby, but I have a good solution for you.”

Qassif Daniel mengangkat wajahnya, memandang tepat ke wajah cantik Sophia Ezara yang sangat dicintainya. Argh memang bertuah memiliki wanita yang bernama Sophia Ezara itu.

“Solution?”

Sophia Ezara mengangguk lembut sambil melemparkan senyuman manis kepada buah hatinya.

“Apa dia?”

“Itupun kalau you bersetuju.”

Qassif Daniel semakin tidak sabar dengan teka teki yang bersarang di kepalanya, Sophia Ezara di hadapannya terus direnung tajam.

Okey, now you tell me,” Qassif Daniel merendahkan suaranya.

You akan berkahwin,” Sophia Ezara masih dengan senyumannya.

Qassif Daniel turut tersenyum tawar, jantungnya berdegup kencang, kenapa mesti hendak berteka teki kalau dah bersetuju untuk berkahwin?

“Qassif Daniel, awak akan berkahwin…”

Qassif Daniel kian berdebar.

“Tapi bukan dengan I!”

“WHAT?!!” 

Beberapa orang pengunjung restoran yang sedang menikmati makan malam mereka turut berpaling memandang meja pasangan kekasih itu, Qassif Daniel segera tersedar dengan suaranya yang agak kuat, dia memberi isyarat meminta maaf kepada mereka dan kembali berhadapan dengan Sophia Ezara.

“Apa yang you merepek ni?”

I tak merepeklah… this is the best solution for your current problem.

“Habis tu I nak kahwin dengan siapa?”

You kena cari calon sendiri.”

Qassif Daniel ingin sahaja menampar wajahnya sendiri untuk memastikan dia tidak bermimpi.
I kena cari calon?”

Sophia Ezara mengangguk.

“Tapi ada syaratnya…” senyuman sinis terbit di bibir wanita anggun itu.

“Apa lagi?”

“Selepas tertunai segala wasiat datuk you, you kena ceraikan dia!”

Pada saat itu juga, Qassif Daniel meletakkan garpu dan pisau, mencapai napkin di atas pahanya dan mengelap mulutnya berkali-kali. 

Qassif Daniel meraup wajahnya berkali-kali. Sophia Ezara, inikah kesudahannya yang kau nak sangat, jangan salahkan aku sekiranya apa yang kau rancangkan untuk hidup aku tidak seperti yang kau inginkan, kini dapat aku rasakan sebenarnya banyak ruang telah aku berikan kepada engkau namun kau sendiri tidak pernah mengisi ruang-ruang itu, engkau mengabaikan ruang-ruang itu, sampai aku sendiri tidak menyedari betapa kosongnya ruang-ruang itu. Namun dapat aku rasakan kini, ruang-ruang itu semakin berisi dan itu menjentikkan kegembiraan di dalam hidup aku, aku dah tak sampai hati untuk terus membiarkan ruang-ruang itu kosong wahai Sophia Ezara.

Maafkan aku Sophia Ezara!



[BERSAMBUNG]

 __________________________________

Dear readers,
 Terima kasih kerana banyak bersabar.
Kesibukan dan kesuntukan masa lately...

Love you all.

xoxo.

7 comments:

  1. Dear "puteri gumuk"... thanks for the entry... usaha lagi...kuatkan semangat untuk menulis supaya kami boleh membaca dengan senang hati... hew3~

    ReplyDelete
  2. Dear 'puteri gumuk but cute' jumaat ada n3 lagi tak...hehehe...ni kira hutang utk minggu lepas sbb takde...hahahahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. ada bah... not to worry :) hahaha cute ar... cutelah sangat...

      Delete
  3. my dear puteri gumuk,
    why the entry is so short?aiyya x puas membacanya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hello sedap garugaru... mengagumkan sungguh namamu... hahaha, entry short sebab banyak bab, hihi

      Delete
  4. enjoy reading... tak tension.. teruskan dengan babak yg menarik ye... :-)

    ReplyDelete