Friday, September 27, 2013

Isteri Kontrak :: Bab 7

Dear IS readers,
I am sorry for the long pause, I hope this chapter could ease the pain of waiting (hahaha... perasan!)
____________________________________




Raut wajah wanita muda itu sentiasa bermain di mindanya. Wajah manis, wajah lembut dan wanita pendiam yang terserlah  tertib sopannya. Semenjak Qassif Daniel memberitahu dia dan suaminya yang dia akan menikah dengan seorang anak yatim piatu, suaminya memang melenting marah, dia sendiri tertekan dengan keputusan Qassif Daniel. Qassif Daniel bagaikan anak yang hilang akal, anak bongsu mereka yang dididik dengan penuh tertib dari kecil itu tiba-tiba membuat keputusan yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka. Tambahan lagi, Qassif Daniel membuat keputusan sendiri tanpa berbincang panjang dengan teman wanitanya Sophia Ezara, sampai sekarang status perhubungan Qassif Daniel dan Sophia Ezara masih tergantung. Sebagai ibu, dia mahukan anaknya bahagia dan tidak kisah walau siapa pun jodoh anaknya, namun sebagai ibu, dia mahukan Qassif Daniel belajar erti tanggungjawab yang sebenar dan bukannya hanya lepas tangan. Sophia Ezara bukan sebarang wanita, keturunannya dari keluarga yang baik-baik, ayahnya Tan Sri Adnan Hisham seorang tokoh korporat dan ahli perniagaan yang disegani ramai, ibunya Puan Sri Kamariah Mahmud, seorang aktivis kebajikan yang murah hati. Bukan sebarang orang dan bukan boleh dibuat main-main. Sophia Ezara anak tunggal yang menjadi sandaran keluarganya, Sophia Ezara wanita cantik yang sering menjadi intaian anak-anak bujang sahabat-sahabat mereka, Sophia Ezara yang bijak dan berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dari Cardiff Univeristy, United Kingdom. Sophia Ezara yang bakal mengambil alih tampuk perniagaan ayahnya satu hari nanti.

Datin Zubaidah merenung senarai “wish list” yang ditaip kemas pada kertas A4 di hadapannya, hatinya tersentuh melihat senarai permintaan itu, milo, susu, beras, syampu, sabun mandi, ubat gigi, tuala wanita, biskut Hup Seng turut di dalam senarai. Lazimnya apabila Datin Zubaidah mengerjakan projek kebajikannya, dia akan meminta “wish list” dari anak-anak yatim itu sendiri. Selalunya, anak-anak yatim itu akan meminta benda-benda yang menjadi keperluan asas mereka, mereka tidak pernah meminta lebih dari itu. Datin Zubaidah terharu. Dia sendiri berasal dari keluarga yang susah, ayahnya dahulu hanya seorang penoreh getah dan ibunya seorang surirumah, namun berkat kegigihan dan kesabarannya, Datin Zubaidah berjaya merubah kehidupannya, dia cemerlang di dalam pengajiaannya dan pernah menjadi penganalisa ekonomi di sebuah bank terkemuka. Namun selepas berkahwin dengan Datuk Mansor, dia akhirnya memilih untuk menjadi surirumah untuk menguruskan anak-anaknya, Qistina, Qaseh dan Qassif Daniel. Datuk Mansor pula memang dari keturunan orang berada namun tidak sombong, perkenalan mereka berputik di Kota London ketika keduanya melanjutkan pelajaran di sana.

Ketiga-tiga anak mereka tidak mengecewakan mereka, anak-anak mereka turut mewarisi sikap sederhana dan tidak bongkak dari kedua orang tuanya. Tidak hairanlah, Datuk Mansor dan Datin Zubaidah memberi seluruh kebebasan dan keputusan membuat keputusan di tangan anak-anak mereka, menaruh kepercayaan kepada mereka untuk berjaya di dalam hidup masing-masing. Qistina kini bergelar doktor pakar sakit puan dan berkhidmat sepenuhnya dengan hospital kerajaan, bagi Qistina, dia telah memilih doktor sebagai kerjayanya, manakala pesakit-pesakit itu tidak pernah memilih untuk sakit, dan memutuskan untuk berkhidmat di hospital kerajaan kerana di sanalah golongan yang tidak berkemampuan datang dan memerlukan khidmatnya. Qistina mahu membantu mereka dan dia seronok dengan kerjaya pilihannya. Qistina juga telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak hasil perkongsiannya dengan Doktor Hakimi, yang merupakan seorang doktor pakar kanak-kanak.

Qaseh, anak kedua Datuk Mansor dan Datin Zubaidah, menurut jejak ibunya sebagai seorang penganalisa ekonomi. Qaseh juga seorang yang berdikari dan lebih selesa bekerja makan gaji dengan sebuah bank pelaburan daripada terikat dengan perniagaan korporat ayahnya. Qaseh juga telah berumahtangga dan mempunyai dua orang anak seperti kakaknya, suaminya Badrul mempunyai perniagaan import eksport sendiri. 

Qistina dan Qaseh masing-masing mempunyai kehidupan sendiri. Datin Zubaidah tersenyum sendirian mengenangkan dua anak perempuan yang membanggakan hatinya. Dua anak perempuan yang tidak cerewet walaupun hidup mewah semenjak lahir ke dunia. Dua anak perempuan yang tidak pernah menggunakan kemewahan orang tuanya untuk mendapatkan sesuatu demi kepuasan diri masing-masing. Hati ibu mana yang tidak senang bila mana melihat kebahagiaan dan keluhuran anak-anak mereka. Tapi lain pula ceritanya dengan Qassif Daniel.

Datin Zubaidah mengandungkan Qassif Daniel ketika Qaseh telah berumur tujuh tahun dan Qistina berusia sepuluh tahun. Qassif Daniel akhirnya menjadi anak yang manja dan anak yang sangat mementingkan imej diri. Walaupun tidak sombong namun Mr Prim and Proper itu mahu keadaan sentiasa kemas dan selesa. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, baik dari cara makan hingga ke cara makan hingga ke cara berjalan, semuanya telah disusun atur. Dari zaman kanak-kanak hingga menamatkan pengajian di universiti dan kini bekerja dengan ayahnya sendiri, Qassif Daniel tidak pernah berubah. Sebenarnya Qassif Daniel banyak terikut cara ayahnya Datuk Mansor, dan tokoh perniagaan itu sememangnya amat bersyukur kerana anak lelaki satu-satunya itu berminat serta mahu menyertainya di dalam persaingan dunia korporat. 

Namun tindakan tergesa-gesa Qassif Daniel menikahi anak yatim itu memang satu tamparan hebat kepada orang tuanya, sedikit sebanyak anak lelaki mereka itu banyak berubah sejak akhir-akhir ini. Lebih banyak berdiam diri, sepuluh patah ditanya, cuma sepatah dijawabnya, itupun sudah cukup baik kerana Qassif Daniel lebih gemar menguncikan mulutnya, seolah-olah mulutnya menyimpan emas zaman purba.

“Wish list” itu masih di dalam genggamannya. Datin Zubaidah melepaskan keluhan berat. Sudah hampir dua jam dia duduk di meja itu dan dia masih belum membuat apa-apa tindakan dengan “wish list” itu. Biasanya dia akan mengarahkan pemandunya untuk membeli barang-barang yang tersenarai di dalam “wish list”, sejak akhir-akhir ini, dia sendiri banyak berfikir. Dia tidak dapat mengagak apa tindakan Qassif Daniel seterusnya. Namun sebagai ibu kepada Qassif Daniel dan isteri kepada Datuk Mansor, dia faham kenapa anak lelaki tunggalnya itu sanggup berkorban dan bernikah sebagai jalan penyelesaian masalah, keluarga mereka hanya mempunyai satu-satunya anak lelaki, dan anak lelaki inilah yang bakal mewarisi perniagaan yang diwarisi dari orang tua Datuk Mansor, anak lelaki mereka itu harus melaksanakan tanggungjawab demi menunaikan wasiat di dalam syarat perwarisan harta. Anak itu kena berkorban dan telah pun berkorban. “Wish list” masih tidak berganjak ke mukasurat seterusnya, dan Datin Zubaidah tetap merenungnya kosong.

*****

“Saya ada dua orang kakak!”

“Erm, tapi saya tak nampak pun kakak-kakak awak malam tu?”

“Ada… cuma tak sempat nak kenalkan.”

Huh… aku kan cuma isteri kontrak, apalah yang nak disibukkan sangat, getus hati kecil Habibah.
“Awak walaupun awak terikat dengan perjanjian perkahwinan ini sekalipun, namun awak berhak tahu dan kenal semua ahli keluarga saya,” bait-bait ayat itu membuatkan Habibah tersentak. Macam mana engkau dapat baca hati aku? 

“Saya tahu apa yang awak fikirkan, tapi saya harap, awak boleh menyesuaikan diri dengan keadaan ni semua, banyak lagi awak perlu tahu.” Isk! Apa pasal hari ni dia ni asyik baca fikiran aku? Habibah sedaya upaya cuba menghalang otaknya dari terus berfikir, dan mematikan hatinya agar tidak didengari oleh Qassif Daniel, logikkah? Habibah tersenyum sendirian. Qassif Daniel tengah bersandar pada sofa sambil kepalanya didongakkan keatas. Lengan kanannya diletak di dahi, dan lelaki itu mengatup matanya rapat. Habibah meletakkan gelas air Sunquick sejuk di meja kecil di hadapan Qassif Daniel, dan mengambil kesempatan dengan menjamah lembut lengan suaminya, hatinya berbunga riang seketika.

“Awak, ni saya ada buatkan air.”

Qassif Daniel membuka matanya perlahan, wajah lelaki itu nampak letih sekali. Qassif Daniel meraup wajahnya dengan kedua tapak tangannya. Alahai… layu hati Habibah, mahu sahaja dia mengelus lembut rambut Qassif Daniel dan memicit dahi suaminya. Namun kesedarannya masih utuh, naluri nakalnya semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, namun dia takut untuk mengorak langkah lebih jauh, takut akhirnya akan memakan diri sendiri. 

“Awak macam nak makan sayalah, errr… maksud saya cara awak pandang saya!” Habibah terkejut. Khayalannya memakan diri sendiri. 

“Err.. err… tak ada apa-apalah!” Ujar Habibah sambil tersenyum malu, dalam diam mengutuk dirinya sendiri. Serta merta dia bangun dan hendak menghayun langkah namun terhenti apabila terasa tangan suaminya menariknya lembut. Hati wanitanya benar-benar dibuai-buai.

“Duduk sekejap Bibah…” arahan dituruti.

Qassif Daniel merenungnya tajam. Wahai suamiku, hentikan renunganmu itu, engkau itu suami aku, aku tak ingin perkara tidak baik berlaku pada diriku. Saat itu Habibah mengimaginasikan menghantukkan kepalanya di dinding bertalu-talu. Habibah memejam mata seketika dan membukanya lagi, kali ini dia ingin benar-benar balik ke alamj realiti. 

“Mulai sekarang, saya nak awak berdikari sendiri. Meskipun awak ni isteri saya, namun saya berikan awak kuasa untuk membuat keputusan yang terbaik untuk diri awak.” Err… apa maksudmu wahai sang suami?

“Maksud saya…” Habibah menarik nafas panjang-panjang, lelaki itu memang bijak membaca kotak fikirannya. 

“Maksud saya… saya tidak perlu berada di samping awak selalu, awak teruskan kehidupan awak, Maya akan membantu awak mana-mana yang perlu. Dia akan menjadi pembantu peribadi awak.” Suara Qassif Daniel kian mendatar. “Tapi kalau awak perlukan apa-apa, awak boleh telefon saya, bila-bila masa sahaja.”

Angannya musnah. Pecah retak seribu. Adakah dia akan menceraikan aku sekarang?

“Perkahwinan kita tetap akan diteruskan, namun tidak elok rasanya jika saya selalu berada di samping awak. Awak pun mesti nakkan privasi kan?” Tidak!!! Aku mungkin lebih selesa jika engkau di samping aku, aku kan isteri engkau?!! 

Namun itu cuma suara hati Habibah, dan Habibah menelan air liurnya berkali-kali. 

“Awak?” Habibah membiarkan Qassif Daniel menggengam kedua tangannya erat.

“Awak, mommy awak telefon tadi, dia ajak saya pergi shopping barang-barang untuk anak-anak yatim!” Habibah terasa ingin menghadiahkan penampar ke mukanya sendiri? Kenapa sukar sangat dia hendak berterus terang dengan lelaki itu? Kenapa? Ya masalahnya ialah… Kenapa?

Qassif Daniel tersenyum mendengar jawaban dari isterinya. Habibah tahu senyuman itu menandakan kebenaran dibentangkan di atas telapak tangannya dan hanya dia sahaja yang boleh membuat keputusan itu sendiri, bukan Ibu Salbiah, bukan Maya, bukan Qassif Daniel.



[BERSAMBUNG]

6 comments:

  1. kesian habibah... buat nak mengharap kalau suami macam tu ....

    ReplyDelete
  2. Nice n3 Cik Writer! Rindu kat Bibah & Qassif. Rasa kesian dgn Bibah sbb mengharap kasih Qassif yg tak tahu kemana arahnya....Sabar byk2 ye Bibah, berdoalah semoga hati Qassif terbuka utk Bibah & always remember to fight for your own happiness, so maybe Bibah kena berusaha lebih kuat utk pikat hati Qassif....good luck!

    ReplyDelete
  3. at last chapter 7....novel awak buat saya membuka blog awak tiap2 hari (at least 3x sehari)..can't wait for chapter 8....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thank you for the support Suezana... akan diusahakan sedaya upaya ya :)

      Delete
  4. cant wait for the next chapter velarie.....

    ReplyDelete