Tuesday, September 10, 2013

Bab 6 :: Isteri Kontrak

Buat Amyra Adelenna, terima kasih di atas sokongan mu :)
_______________________________________________________

Ibarat cerita Cinderella, gadis yatim dan miskin yang hidupnya dalam serba-serbi kekurangan, tiba-tiba berubah menjadi jelita dan menjadi idaman si putera raja. Kehadiran si pari-pari yang mengubah kehidupannya sehingga dia bahagia. Menurut mitos, Cinderella dan putera raja itu akhirnya hidup bahagia selama-lamanya. Tapi itu adalah cerita dongeng yang hanya boleh dijadikan hiburan dan igauan. Aku, si anak yatim yang akhirnya menjadi isteri kontrak seorang anak jutawan, yang tidak pernah aku kenal asal usulnya, yang tidak aku tahu apa mahunya. Habibah melepaskan satu keluhan berat. 

“Awak melamun lagi? Kenapa awak suka sangat melamun?” Habibah tersentak. Rupanya Qassif Daniel telah memarkirkan keretanya dan dari tadi menunggu reaksi wanita itu, ternyata isterinya jauh hanyut membawa diri ke dunia fantasinya. Qassif Daniel perasan wanita itu banyak mendiamkan diri ketika bersamanya, dan tabiat isterinya yang kurang digemarinya ialah termenung dan melamun.

“Saya… saya minta maaf!”

“Sejak kita nikah, awak asyik nak minta maaf atau paling tidak, awak termenung!”

Habis tu awak nak saya buat apa? Bergembira? Awak buat saya bingung! Namun Habibah sedar itu hanyalah luahan hati kecilnya, tidak terucap walau sehela di bibirnya.

“Saya nak minta tolong awak malam ni, tolonglah!” Suara Qassif Daniel mengendur, dan Habibah faham maksudnya.

Pokok besar yang tumbang di tengah hutan belantara tidak mungkin akan disedari oleh orang ramai, namun akan memberikan perubahan pada ekosistem dan habitat di hutan itu. Begitu juga dalam diam Habibah sedar wujudnya sesuatu yang aneh dalam hatinya, yang hanya dia yang mengerti, keanehan itu adalah perasaannya sendiri. Kenapa dia tiba-tiba merasakan seakan-akan ada sebuah payung besar yang memayunginya sehingga tidak ada setitik air hujan yang mengenainya atau tiada secarik pun sinaran matahari memanahnya? Payung itu sungguh besar, selesa dan selamat. 

Genggaman erat Qassif Daniel terasa membahang di telapak tangannya, mereka berjalan menyusuri taman kecil, meskipun cahaya lampu taman yang agak samar, Habibah sempat menjamu matanya dengan pokok-pokok bonsai comel di sekelilingnya. Rumah mertuanya memang besar, Habibah sendiri tidak dapat mengagak berapa tingkatnya, kerlipan lampu-lampu di khemah-khemah yang berhujung tirus turut menggamit matanya. Namun segala yang dilihatnya ada satu helah untuk memujuk hatinya untuk terus bergetar. Genggaman tangan Qassif Daniel benar-benar melemaskan, mendebarkan dan pada masa yang sama, menerbitkan seribu satu perasaan. 

“Awak selesa?” Mereka berhenti seketika dan Qassif Daniel sekarang berhadapan dengannya, susuk tubuh sasa dan tinggi yang dimiliki lelaki itu kian membuai jiwa wanita Habibah.

“Saya OK.” Ujar Habibah takut-takut. 

“Ingat, malam ni akan jadi titik permulaan segalanya, tolong jangan hampakan saya.” Pinta Qassif Daniel. Habibah tersenyum sambil mengangguk kepalanya lembut, Qassif Daniel membalas senyuman itu dan menarik lembut tangan Habibah kembali erat di dalam genggamannya. 

“Daniel!”

Qassif Daniel dan Habibah serentak berpaling, seorang wanita dalam lingkungan awal 50-an menghampiri mereka dengan memegang pinggan yang berisi beberapa keping sandwich. Qassif Daniel segera menyalami dan mencium tangan wanita itu, selepas itu Habibah menurut perbuatan Qassif Daniel. Wanita itu masih dengan senyum lebarnya.

“Ini isteri Daniel auntie, namanya Habibah!” Wanita itu segera meletakkan pinggannya di meja bulat berdekatan. Seketika wajahnya bertukar, agak terkejut.

“Auntie ada dengar berita pernikahan mendadak Daniel.”

Habibah tersenyum perit. Wanita itu segera berpaling pada Habibah, dipeluknya Habibah erat, buat seketika Habibah teringatkan Ibu Salbiah, pelukan wanita itu juga melahirkan kelegaan pada Habibah, mudah-mudahan semua orang yang mengenalinya sebagai isteri Qassif Daniel akan seperti Auntie itu.

“Nama Auntie, Mariah. Auntie ni adik kepada daddyDaniel.” Lebar sungguh senyuman Auntie Mariah. Seorang lelaki hampir sebaya Auntie Mariah menghampiri mereka dengan senyuman, Auntie Mariah segera menarik lelaki itu mendekati mereka.

“Habibah, this is Uncle Sulaiman, my husband!”

“Apa khabar uncle?” Tanya Habibah ikhlas sambil menyalami dan mencium tangan Uncle Sulaiman. Tatkala kepala sedikit tunduk, Uncle Sulaiman meletakkan tangannya di kepala Habibah, serta merta Habibah tersentak dengan sentuhan itu, seumur hidupnya, belum ada lelaki yang menyentuh kepalanya sedemikian, ada getaran kasih sayang disitu. Alangkah indah perasaan itu. 

“Nama siapa?”

“Habibah uncle, panggil saja saya Bibah…”

“You have such of classic and nice name.” Puji Uncle Sulaiman ikhlas. “Dah jumpa the in laws?”

Not yet uncle, going to!” Sampuk Qassif Daniel yang sejak tadi menjadi pemerhati setia.

I am pretty sure they are going to love you, if they don’t, do let me know and I will always accept you as my daughter in law.” Gurauan Uncle Sulaiman disambut dengan ketawa kecil dari Habibah. Auntie Mariah turut ketawa dengan gurauan suaminya.

Suasana majlis memang meriah, undangan agak ramai walaupun hanya di kalangan keluarga terdekat. Habibah tidak mengenali sesiapa pun kecuali Uncle Sulaiman dan Auntie Mariah. Itupun mereka telah berlalu untuk beramah mesra bersama sanak saudara yang lain. Habibah merasa jengkel berada tengah-tengah mereka. Habibah membuang pandang ke arah deretan makanan yang dihidangkan secara buffet di bawah khemah. Beberapa orang yang bertugas sebagai penyedia makanan tekun menyenduk makanan ke dalam pinggan para tetamu. Di satu sudut terdapat beberapa buah gerai yang menghidangkan sate, berpeluh-peluh orang yang membakar sate itu mengipas sate-satenya. 

“Awak lapar?”

“Belum lagi.”

“Betul ni?”

“Saya belum lapar… kenapa? Awak lapar ke?” Qassif Daniel menggeleng. Lelaki itu nampak resah, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi, “OK kami ke sana sekarang.” Habibah mencuri dengar.

“Jom naik ke atas, mereka tunggu kat atas!” Serta merta hati Habibah kembali bergetar. Namun langkah Qassif Daniel dituruti jua.

*****

Aku cuma isteri kontrak yang bakal diceraikan pada bila-bila masa sahaja. Jadi aku tidak perlu risau untuk bersemuka dengan orang tua Qassif Daniel, bisik hati Habibah. Tapi aku tetap isteri Qassif Daniel yang sah, aku berhak akan hak-hak aku untuk dihormati sebagai seorang isteri, maruah aku sebagai seorang wanita, mindanya pula mencelah. Tapi adakah tertulis dalam perjanjian yang Qassif Daniel akan menceraikan aku? Minda Habibah mula menyorot kembali senarai perjanjian mereka. Tanpa disedarinya, dia kini berdiri di hadapan Datuk Mansor dan Datin Zubaidah. Tanpa disuruh, dia menyalami dan mencium tangan kedua mertuanya, terasa tangannya sejuk bersentuhan dengan tangan kedua orang tua itu. Mereka tidaklah tua sangat, Datuk Mansor mungkin dalam lingkungan enam puluh tahun dan Datin Zubaidah dalam 50 tahun. Qassif Daniel mendapat iras persis ibunya, hidung mancung dan bermata lembut. Ketika Habibah hendak beransur pergi, Datin Zubaidah menariknya lembut duduk disamping wanita anggun itu. Dada Habibah seakan-akan pecah menahan debaran yang bertalu-talu. 

Datuk Mansor berdehem. Habibah menghitung waktu di dalam diam. Menanti detik “temuramah” yang tidak diketahui intipatinya. 

“Bibah jangan takut, Datuk tak makan orang…” Datin Zubaidah rupanya sedar akan kerlipan mata Habibah yang gelisah dan hanya menghala ke arah Datuk Mansor. Habibah mengulas senyuman tipis untuk menyedapkan hati sendiri. Qassif Daniel akhirnya mengambil tempat duduk berhadapan dengan Datuk Mansor. Datuk Mansor memang berperawakan ahli korporat. Segak dan bergaya, dia memakai sut hitam, rambutnya agak lebat dan bewarna hitam namun beberapa helai rambut putih mula menempatkan diri, bukanlah Datuk yang berdahi luas dan tidak mempunyai rambut di tengah kepala seperti imaginasi nakal Habibah. Datuk Mansor berkulit sawo matang, Qassif Daniel memang banyak mewarisi ibunya yang berkulit putih cerah. 

“Daddy harap Daniel tidak menyesal dengan keputusan Daniel.” Daniel diam membungkam.
“Daniel tau tak tindakan Daniel ni salah…” Datin Zubaidah pula mencelah. “Pernikahan itu suci Daniel, bukan boleh dibawa main-main.” Betul!Betul!Betul! Habibah mengiakannya di dalam diam. Dia mencuri pandang wajah Qassif Daniel, suaminya yang penuh misteri itu. 

“Daniel tidak perlu rasa terdesak, sepatutnya Daniel bersabar dan berunding secara baik dengan Zara.” Zara? Siapakah wanita itu? Kepala Habibah terdongak sedikit. Menunggu ayat-ayat seterusnya untuk lahir dari bibir Datuk Mansor.

“Kami dah bagitau keluarga yang lain, Daniel dan Habibah bernikah cepat kerana kamu berdua akan ke London untuk membuka cawangan baru Setia Waja Holdings di sana. Jadi kamu berdua perlu memberi alasan yang sama.” Suara Datuk Mansor sedikit ditekan, nampak sangat kedua orang tuanya tidak bersetuju dengan pernikahan mereka, nampaknya ini semua adalah rancangan Qassif Daniel, entah apa yang dihendakkan oleh lelaki itu. Andainya Habibah tahu dari awal, pasti dia sendiri akan menolaknya, biarlah hatinya remuk oleh Rayyan seorang, biarlah.

“Daniel?” Ujar Datin Zubaidah yang agak kurang senang dengan sikap membatu anaknya itu. Qassif Daniel mengangkat wajahnya, memandang kedua orang tuanya bersilih ganti, kemudian pandangan itu melekat pada Habibah, entah mengapa Habibah tergerak untuk memberikan senyumannya, dan Qassif Daniel membalasnya sambil menganggukan kepalanya.

“Daniel bernikah betul dan tak main-main!” Tegas Qassif Daniel. Habibah kian tertarik hati dengan kemelut yang melibatkan dirinya kini. “Daniel akan bertanggungjawab, mummy dan daddy tak payah risau, sekurang-kurangnya salah satu permintaan mommy dan daddy dah tertunai!”

“Bukan dengan cara ini Daniel!” Suara Datuk Mansor seakan menempik.

“Daniel minta maaf daddy, but please trust me, I am not going to fool anybody here, but I am forced to do all these for the sake of the company, and for our family.” Qassif Daniel merendahkan suara demi menghormati orang tuanya. Terjentik rasa kagum di hati Habibah.

Habibah dapat menangkap, perkahwinan mereka ada kaitannya dengan maruah keluarga dan perniagaan syarikat mereka. Satu yang dia tidak faham, kenapa mesti Habibah?
Demikianlah pertemuan singkat buat pertama kali Habibah dengan bapa dan ibu mertuanya. Sepanjang pertemuan itu, tiada secalit soalan untuk dirinya, semuanya hanya berbalik kepada Qassif Daniel. Habibah menarik nafas lega. Permasalahannya bukanlah kerana dirinya namun segala punca adalah dari suaminya. Permainan sebagai isteri kontrak masih lagi berlangsung.

“Awak… err saya nak tanya, boleh?”

“Apa dia?”

“Kenapa tadi daddy awak, hmm… maksud saya, Datuk sebut pasal Setia Waja Holdings?”

“Itu syarikat keluarga kami.”

Habibah terdiam. Dunia ini sungguh kecil.

“Kenapa awak tanya?”

“Sebab… sebabnya…”

“Apa?” Suara Qassif Daniel sedikit keras mengejutkan Habibah. Wajahnya sengaja didekatkan pada wajah Habibah membuatkan dia sangat tidak selesa.

“Sebab saya… saya scholar Setia Waja Holdings…” Fuh! Habibah meluahkan kelegaannya dan segera menjarakkan kedudukan mereka.

Qassif Daniel tersenyum nakal, entah mengapa Habibah senang dengan senyuman itu berbanding dengan wajah serius Qassif Daniel yang hanya kadangkala tersenyum nipis dan banyak menganggukkan kepala itu.

“Kenapa awak senyum?” Tanya Habibah.

“Saya tahu awak scholar…” Ujar Qassif Daniel dan menarik tangan Habibah menuruni tangga rumah banglo itu menuju ke halaman rumah. OK, persoalan ini akan aku rungkaikan kemudian, Habibah mengambil keputusan untuk tidak terus-terusan membingungkan dirinya.

Habibah kusyuk menuruti langkah Qassif Daniel sambil membetulkan stilettonya, sekejap dia berhenti dan sekejap lagi dia mempercepatkan langkahnya. Sehinggalah dia nyaris terlanggar seorang pemuda yang jalan beriringan dengan seorang wanita, nasib dia sempat mengelak.

“Bibah?”

Kenapa hari ini jantung aku banyak sangat bekerja? Berdebar, gembira, berdebar, terasa seperti terhenti… dan kali ini hati dan jantung aku bagaikan terhiris pedih. 

“Rayyan?”

Lelaki itu yang menyakitinya di dalam diam, lelaki itu yang meninggalkannya di dalam diam, lelaki itu yang pernah disayanginya, lelaki itu tidak pernah menaburnya dengan janji manis namun banyak memberikan dia harapan, lelaki itu yang…

“Awak? Kenapa ni?” Qassif Daniel telah berdiri di sampingnya sambil memegang lengannya. Qassif Daniel membantu Habibah untuk berdiri lurus. 

“Rayyan! Bila sampai?” Qassif Daniel memeluk Rayyan erat. Hubungan mereka nampak sangat rapat. Habibah menahan sabar  gelodak jiwanya.

“Baru juga, masih jet-lag pun.” Balas Rayyan sambil meleraikan pelukan mereka.

“How’s your honeymoon?” Soalan berikutnya dari Qassif Daniel disambut dengan ketawa riang Rayyan. Habibah akur, pasangan mempelai ini mungkin baru balik dari percutian bulan madu mereka.

Wanita yang datang bersama-sama Rayyan segera memaut manja lengan Rayyan. Habibah menggigit bibir. Aku tak patut cemburu, tak patut! Hati kecilnya menjerit.

This is my wife, Habibah.” Tanpa disangka Qassif Daniel memperkenalkan dirinya, perubahan spontan wajah Rayyan disukai Habibah, kalau bukan kerana ramai orang, pasti dia melompat kegembiraan.

“Eh! Bila langsungnya?”

“Akad nikah dulu, sandingnya kemudian.” Bersungguh-sungguh Qassif Daniel seakan-akan menyelami kedukaan Habibah. “Awak, this is my cousin Rayyan and his beautidul wife, Farrah. Baru kahwin juga.” Habibah tersenyum puas. Dunia kecil ini telah menemukan kita semula Rayyan, dengan episod baru dalam lembaran hidup kita masing-masing.

Hi Farrah, nice meeting you and congratulation on your wedding, and to you too Rayyan.” Habibah memaniskan wajah sedaya upaya, memberikan senyumannya sambil bersalaman dengan mereka.

I like your dress Habibah, and your handbag too!” Farrah memang mempunyai citarasa yang tinggi, Habibah menganalisa di dalam diam.

“Suami saya yang hadiahkan.” Ucap Habibah jujur.

OK guys I would need to bring her around, catch on you later bro!” Ujar Qassif Daniel sambil menarik tangan Habibah kemas di dalam genggamannya. Habibah melangkah penuh gaya di samping Qassif Daniel, serta merta stiletto lima inci itu memberikan dia pergerakan yang selesa. Seketika dia terasa anggun dan bergaya. Seketika itu juga dia tidak merasa kesepian di dalam hatinya, dia terasa seolah-olah hatinya penuh dan berkelimpahan.

[BERSAMBUNG]

(Bab kali ni agak kelam kabut dan belum buat spell check, harap maaf!)

18 comments:

  1. Replies
    1. sabar ya dik, anyway thank you for your loyalty :)

      Delete
  2. Replies
    1. bolehh... selagi ada kudrat nti akak ni akan terus berbakti menulis :)

      Delete
  3. at last chapter 6...(tiap hari saya bukak blog awak utk sambungan).. cannot wait for chapter 7...

    ReplyDelete
    Replies
    1. thank you suezana, definately will publish once everything ready :)

      Delete
  4. Nice n3 Cik Writer! Rasa lega sgt bila Bibah dpt handle first meeting dgn parent in-law. Tak sedap hati bila Rayyan muncul semula. Agak2 dia akan serabutkan hidup Bibah lagi ke?? Tak suka ok! Be strong Bibah, buat mcm biasa je..Lagipun yg penting skrg ni kena belajar utk terima Qassif Daniel. Maybe he got many secrets but I believe that dia boleh bahagiakan Bibah. So, good luck Bibah!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi Ida, Ida dapat menyelami watak Bibah, itu cukup melegakan saya sebagai penulisnya :)

      Delete
  5. Hehe Thanks Amoiii... jangan lupa nanti update lagi.. ramai sudah peminat nie..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya bah sumandak... nanti sa update selagi boleh k :)

      Delete
  6. best dan terus berkarya yang indah2. jgn lama sangat nk bg n3 baru. he3 tak sabo je menunggu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hello Fiesha darling, terima kasih ya. Akan diteruskan niat berkarya selagi ada orang nak baca :)

      Delete
  7. best..best! bila nak sambungnya? kunjungi juga blog saya http://putrimanasuha.blogspot.com yee. tk

    ReplyDelete