Thursday, August 15, 2013

kisah saya dan onton

Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf sekiranya post ini menyinggung perasaan atau tidak berkaitan dengan anda. Namun saya ingin meluahkan, sekadar sebagai ingatan dan kenangan kepada dia yang telah tiada.

Setiap makhluk yang hidup tidak akan selamanya berpijak di bumi bertuah ini, namun bezanya cuma jangka hayat sahaja, namun setiap kematian adalah rahsia dan tidak pernah diketahui oleh kita, sebab Tuhan yang esa memegang kunci nyawa setiap yang bernyawa.

Begitulah juga dengan Onton, seekor anjing peliharaan yang dibela sebelum saya berkahwin lagi, dialah penawar jantung dan juga teman suka dan duka, serta penghibur sampai ada ketikanya saya terlupa yang dia hanyalah seekor anjing, bukannya manusia. Bahkan dia sendiri tidak menyedari yang dia hanyalah seekor anjing, kerana dia akan marahkan anjing lain.

Namun di sangat setia, kesetiaan dia tidak berbelah bahagi, dia sangat manja dan kemanjaan dia itulah yang menghantui saya sehingga kini. Secara jujur, saya masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya tanpa membelai dia setiap hari.

Saya bercakap dengannya setiap hari dan dia akan menjawabnya dengan goyangan ekor, mimik muka, sinaran dari matanya, salakan dan pergerakkannya. Dia seekor anjing yang sangat bijak! Dia menemani saya ke setiap pelusuk rumah dan tidak pernah mengeluh, dan dia tidur berdekatan dengan saya setiap malam (kecuali kalau kami keluar bermalam di luar/balik kampung). Dia mempunyai perasaan rindu yang sungguh luar biasa, dia mengenali ring tone yang saya setkan untuk daddy (suami saya). Dia suka makan disuap dan akan mengelap wajahnya pada kain/kusyen setiap kali merasa kenyang (menggambarkan kepuasan).

Dia seekor anjing yang sangat penyayang dan sukakan anak kucing, dia membesar bersama berpuluh-puluh kucing saya satu ketika dahulu. Dia tidak pernah membunuh walau seekor pun mereka.

Dia telah pergi pada 12.08.2013,  pemergian yang sangat mengejut dengan tanda-tanda yang tidak diberikan sangat kepada saya, pagi sebelum ke pejabat saya sempat membelai dia seperti biasa dan berpesan agar dia menjaga rumah. Namun pandangan dia terlalu sayu pada pagi itu. Dia pergi ketika saya tdiak bersamanya dan itu yang membuatkan saya lagi bersalah. Malam itu saya menangis seteruk-teruknya dan kesakitan itu masih terasa sehingga saya menaip post ini.

Saya mendoakan yang terbaik untuk dia yang saya sayangi, walaupun hanya seekor haiwan, namun kasih sayang di antara kami yang terjalin hampir 6 tahun membuatkan saya tidak bersedia untuk kehilangannya, namun ketentuan telah disuratkan, saya memang tidak mempunyai peluang untuk memanjakan dia lagi.

Alkitab (Bible) menggambarkan syurga sebagai satu tempat indah dan dipenuhi dengan kebahagiaan dan tiada berkekurangan. Namun Alkitab tidak menyatakan haiwan yang mati akan menghuni syurga, namun Onton adalah salah satu nikmat kasih sayang dan kebahagiaan yang Tuhan pinjamkan kepada saya dan saya mahu lengkapkan kebahagiaan itu apabila masa saya sampai ke sana kelak, saya ingin bertemu dengan dia lagi. 




1 comment: