Tuesday, December 28, 2010

::1:: Tati Osundu

GUNUNG Kinabalu yang berbalam-balam direnungnya dengan penuh asyik. Kelihatan biru sayup dengan awan-awan putih yang seakan berebut-rebut untuk memenuhi puncaknya. Tati Osundu tahu sebentar lagi awan-awan tersebut akan menyembunyikan gunung yang tertinggi di Asia Tenggara itu. Mungkinkah awan-awan itu sedar akan kegusaran si gunung yang sentiasa tersergam kukuh? Atau mungkinkah si gunung sering meluahkan ketakutannya pada si awan?

Tati Osundu mengeluh, nafasnya dirasakan amat berat sekali. Sesekali kakinya menguis-nguis daun kering di tanah, berkeriut bunyi daun-daun itu, lantas berpecah dan berderai-derai. Begitukah nasibku? Mungkin hidupku umpama helaian dedaun kering yang tidak bermaya ini. Tati Osundu mencongak matahari yang tegak dia atas kepalanya, mungkin dah pukul 2.00 petang. Hatinya terus berbisik perlahan. Mengingatkan tanggungjawabnya yang menanti, Tati Osundu mula bangun dari kerusi kayu buruk di tepi belukar itu dan mula mengorak langkah, begitu berat hatinya namun kerana memikirkan keadaan dirinya, dia melangkah jua.

* * *

Jemari runcing yang lincah itu terus menari-nari di atas batas sayur yang bertanah hitam. Tanpa memakai sarung tangan, Tati Osundu kelihatan tidak kekok akan tugas yang sudah menjadi rutinnya itu. Sesekali Tati Osundu membelek sayur brokoli yang baru hendak membulat lebar. Dalam dua minggu lagi pasti sudah boleh dipetik. Bisik hatinya sendirian.

Apabila peluh mula mencuri-curi untuk jatuh di dahinya, cepat-cepat diseka dengan hujung baju lengan panjang baju yang dipakainya. Udara yang sejuk nyaman tidak dapat menghalang dirinya dari bahang kepanasan walaupun pada suhu yang rendah, mungkin kerana aktiviti membersihkan batas dan memeriksa sayur-sayuran di kebun Mamai Mahadi mengaktifkan pergerakan ototnya.

Kadang-kadang hidungnya terasa gatal dengan udara sejuk yang menyelubunginya. Sememangnya daerah Kundasang merupakan kawasan tanah tinggi yang sentiasa bersuhu sejuk, diri seakan-akan senantiasa menghuni bilik yang berhawa dingin apabila berkunjung di Kundasang. Tidak hairanlah, Kundasang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar Negara. Satu lagi keistimewaan yang nyata ialah Gunung Kinabalu yang bertapak indah setinggi 4101 meter di bumi Kundasang. Gunung yang menyimpan banyak khazanah negara itu sering digambarkan sebagai semangat juang jitu dan perpaduan rakyat Sabah yang berbilang kaum. Ia juga sering dikaitkan dengan dengan cerita mistik yang misteri. Menurut kepercayaan bangsa Tati Osundu sendiri, iaitu bangsa Kadazan, Gunung Kinabalu merupakan tempat bersemadinya roh mereka apabila meninggal kelak. Namun mitos itu bagi Tati Osundu hanyalah cerita untuk menambahkan lagi kecantikan Gunung Kinabalu kerana masyarakat dari kaumnya sendiri telah ramai yang menganut agama Kristian dan Islam yang mempercayai Tuhan yang esa dan berkuasa, mendalami ilmu dunia dan akhirat, dosa dan pahala.  Kekayaan hasil buminya yang menarik sering mencuri tumpuan masyarakat dunia. Tati Osundu tersenyum bangga mengenangkan bumi kelahirannya.

Setelah menyudahkan batas brokoli, Tati Osundu mula berganjak ke batas sayur kobis pula. Sayur kobis hasil tanaman kebun Mamai Mahadi memang menjadi rebutan kerana isinya yang mampat dan daunnya yang tebal. Mamai Mahadi pula tidak gemar mengguna baja kimia untuk tanamannya melainkan baja organik atau paling tidak menggunakan baja asli yang boleh diperolehi dengan mudah dari penduduk kampung.

Dengan keadaan yang mencangkung, Tati Osundu mula meneliti bunga Kobis, matanya liar memerhati secara rawak. Sememangnya dia begitu peka akan persekitaran dan hasil tanaman Mamai Mahadi. Sejak kecil lagi, dirinya telah bergelumang dengan tanah gambut di lereng bukit. Selain dari menolong Mamai Mahadi, dia juga gembira kerana dirinya dikelilinginya oleh persekitaran banjaran Crocker yang indah, banjaran yang terpanjang dan tertinggi di Asia Tenggara. Tati Osundu tersenyum lagi.

Dahi Tati Osundu sedikit berkerut apabila terpandang beberapa bunga kobisnya yang berbintik agak kekuningan. Matanya mula meliar mencari Bulat, pekerja yang turut bekerja di kebun Mamai Mahadi. Dari jauh kelihatan Bulat begitu asyik membersihkan batas-batas yang bakal disemai dengan benih asparagus. Tidak sampai hati Tati Osundu untuk memanggil Bulat kerana dia tahu, Bulat memang sibuk dengan urusan kebun Mamai Mahadi.

Tati Osundu kembali mencangkung dan memeriksa bunga Kobis yang lain, mujurlah hanya beberapa yang terkena serangan itu. Jemarinya kembali ligat membersihkan batas yang terbentang di hadapannya. Keletihan mula meresapi dirinya, pantas Tati mencapai kerusi kayu buatan sendiri yang sememangnya digunakan untuk duduk membersihkan batas atau berehat. Setelah disapu dengan helaian daun kobis yang dikopeknya sebentar tadi, Tati terus melabuhkan punggungnya, terasa sedikit lega! Tati Osundu mencapai botol air yang sengaja diletakkan tidak jauh dari tempat duduknya, penutup botol dibuka dan air diteguk perlahan. Terasa segar tekaknya yang kering.

Pandangannya terus dilontarkan ke arah Bulat yang kelihatan terjengket-jengket dengan topi lebarnya. Bulat seorang pekerja yang sungguh setia, walaupun hampir mencecah usia 30 tahun namun pemuda yang hanya bersekolah sampai darjah dua itu masih belum berumah tangga. Seluar bulat yang hanya melepasi lutut nampaknya amat comot dengan tompokan tanah hitam, baju lengan panjang kuningnya sengaja tidak dibutangkan menampakkan singlet nipis putih di dalamnya. Penampilan Bulat bukanlah sesuatu yang pelik bagi masyarakat petani di Kundasang.

Sudah menjadi rutin bagi mereka yang menjadi petani di daerahnya, tidak kira samaada yang mengusahakan tanaman sayuran ataupun yang mengusahakan tanaman tembakau, mereka akan bangun pagi seawal 5.00 pagi tatkala hari masih gelap untuk menyiapkan sarapan pagi. Samaada untuk sarapan pagi atau untuk dibuat bekal seadanya untuk diri sendiri dan anak-anak yang akan kesekolah.  Pukul 6.00 pagi mereka akan mula bekerja di kebun. Menyemai benih baru, menyiram sayuran, memasang pancang baru untuk petola dan kacang panjang, membuat batas baru dan memetik hasil kebun. Lebih kurang pukul 10.00 pagi akan balik semula ke rumah, bagi mereka yang rajin dan inginkan pendapatan segera, akan memetik sayur-sayuran sendiri dan dijual di persisiran jalan Kundasang. Ramai pengunjung yang singgah tidak akan melepaskan peluang untuk membelinya, bukan sekadar segar namun cukup murah dan memuaskan hati.

“Tati!” Panggilan itu mencuit khayalan Tati Osundu.

“Mamai, mahu balik sekarang kah?” Tati Osundu segera menyambut beberapa tompokan sayur Khailan yang dihulurkan oleh Mamai Mahadi.

“Ya Tati, hari pun mahu petang sudah ni, lagipun kau ni pun mesti mahu  buat kerja sekolah lagi kan?” Ujar Mamai Mahadi dengan loghat bahasa Dusun yang pekat. Rokok daun yang terselit di celah bibirnya bergerak-gerak. Tati turut  tersenyum. Jauh di sudut hatinya dia amat bersyukur kerana lelaki yang berusia 55 tahun itu amat memahami dirinya. Lelaki itu banyak berkorban untuk dirinya. Mendidik dari kecil dan menyekolahkannya. Sejak berumur 5 tahun lagi dia telah membesar bersama keluarga Mamai Mahadi. Walaupun layanan yang diterima adalah kurang menyenangkan dari ahli keluarga yang lain namun Tati Osundu tetap bersyukur kerana masih dapat menumpang kasih.

“Banyak sayur ni Mamai, mahu masak semuakah? ” Wajah tua Mamai Mahadi yang kian dipagari dengan kedutan-kedutan halus itu direnunginya. Hatinya berasa kasih melihat wajah itu, jiwanya sentiasa tersentuh dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Mamai Mahadi. 

“Saja bawa balik banyak sikit, nanti kalau tidak habis dibuat lauk malam ni, bagi lah sama Diana.” Tati hanya mengganguk. Diana, anak jirannya yang berusia 10 tahun itu tinggal tidak jauh dari rumah mereka. Seorang kanak-kanak periang namun agak istimewa, Diana terencat akal sejak dilahirkan. Namun begitu, Tati Osundu begitu menyenangi gadis kecil itu. Sesetengah orang kampung yang berfikiran kolot sering mengatakan bahawa gadis itu terkena sumpahan dari nenek moyang, ditegur oleh benda-benda yang kotor dan banyak lagi kisah-kisah misteri yang kadang kala tidak masuk akal. Namun bagi Tati Osundu, itulah rencana Tuhan, Tuhan sememangnya mempunyai rencana yang terindah untuk semua.

“Bah Tati, marilah kita balik. ” Tati Osundu  pantas mengemaskan barang-barangnya. Tangannya yang dilekati tanah hitam dimasukkan ke dalam bekas yang berisi air, bekas itu sememangnya dikhaskan untuk mencuci tangan. Dalam keadaan yang tergesa-gesa, Tati Osundu mula berlari-lari mengejar Mamai Mahadi yang lebih dulu mengatur langkah meninggalkannya.

* * *

            “Mana bapa kau ni Rina, sudah pukul berapa ni? Belum balik lagi!” Sarina yang duduk bertenggek di kerusi berhampiran meja makan hanya mengangkat bahunya. Sambil menggoyangkan kedua-dua kakinya, badannya dikipas-kipas dengan majalah Remaja yang baru dibelinya sebentar tadi. Mak Supinah masih lagi kelihatan sibuk mengalihkan pucuk ubi yang telah dipisahkan dari tangkainya ke dalam besen biru di hadapannya. Tangkai daun ubi dimasukkan ke dalam plastik untuk dibuang.
            “Hah! Kau ni sudah mandikah?” Mak Supinah memandang tepat ke arah anak gadisnya yang baru sampai. Baju sendat yang dipakai oleh Sarina mengamit pandangannya. Dalam hatinya bangga memuji kecantikan potongan badan Sarina, tinggi lampai dan berkulit putih cerah. Mata Sarina yang agak sepet sekali imbas seperti budak cina kelihatan bersinar galak. Kalau anak aku ikut Unduk Ngadau  mesti menang! Bisik hatinya bangga.

            “Rina, tadi Mak tanyalah, kau tidak dengarkah?” Suara Mak Supinah sedikit tinggi apabila melihat Sarina yang tidak mengendahkannya. Sarina melihat ibunya telah pun bangun berdiri dan membuang plastik ke dalam bakul sampah di bawah sinki. Setelah mencuci tangannya, Mak Supinah mengambil garam dan meramas-ramas daun ubi di dalam besen. Daun itu semakin kecur dan air bewarna hijau pekat kelihatan keluar di celah-celah daun yang diramas. Sarina tahu itulah cara ibunya menghilangkan rasa pahit pucuk daun ubi. Sarina segera bangun dari tempat duduknya dan mencapai tin ikan sardin yang ada di atas meja makan. Pembuka tin diambil dari bekas besi yang tersangkut di dinding dapur. Dia telah mengagak resepi ibunya malam ini.

            “Ala Mak ni… saya dengarlah tapi saya rasa panas bah ni, macam mana mau jawap?” Sarina cuba mengukir senyuman yang sengaja dimaniskan untuk mengambil hati ibunya. Senyuman yang dihiasi sepasang lesung pipit itu sedikit mencairkan kemarahan Mak Supinah.
            “Mak! Sudah masakkah? Saya lapar ni!” Mak Supinah dan Sarina serentak memandang wajah yang tiba-tiba terjengul di muka pintu yang hanya bertiraikan langsir.

            “Kau ni Jeff!” Sarina mengherdik Jeffrey, jantungnya seakan terhenti kerana terperanjat. Jeffrey, adik bongsunya yang jarang lekat di rumah seperti ingin ditelannya. Jeffrey pula kelihatan agak termangu, salah kah aku tanya? Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

            “Itulah, lain kali jangan kasi terkejut orang, tanya bagus-bagus bukan terus masuk macam mau makan orang!” Jeffrey hanya tersengih melihat ibunya yang mengurut-ngurut dada.
           
“Minta maaflah bah…” Jeffrey memandang kearah kakaknya yang masih memandangnya dengan muka yang masam. Wajah itu tampak amat melucukan namun Jeffrey hanya menahan tawanya kerana tidak ingin menyinggung Sarina. Perangai Sarina yang panas baran itu bukan tidak dikenalinya.

            “Mak, saya lapar ni, saya mahu tanya saja bah tadi tu, sudah masak kah belum?” ujar Jeffrey dengan suara yang dilembutkan.

            “Belum lagi siap, tinggal mahu masak sayur lagi ni. Hmm… kau nampak bapa kau kah? Lambat betul dia hari ni,” Mak Supinah menyatakan kebimbangannya.

            “Tidak nampaklah Mak, bah kalau belum masak saya mandi dululah,” Jeffrey mula berganjak. Kedengaran bunyi siulan dari bibirnya. Seketika kemudian sebelum melalui pintu dapur yang menghubungkan dapur dan ruang tamu, langkahnya terhenti. Matanya merenung tepat mata Mak Supinah.

            Mak Supinah melihatnya hairan, “Kenapa Jeff?”

            Jeffrey hanya tersenyum, “Mak cari bapa kan?” Mak Supinah hanya mengganguk.

            “Kau tahu bapa kau pigi mana?” 

            Mologop !” Jeffrey terus menghilangkan diri di balik pintu. Kedengaran hilai tawanya yang kian menjauh.

            “Gila!” Rungut Sarina. Menyampah dengan perangai adiknya. Mak Supinah hanya tersenyum. Otaknya segera menangkap wajah Sariman, anak sulung kebanggaannya yang kini berada di tahun akhir dalam jurusan perundangan, University of Cambridge, United Kingdom. Sariman yang berperawakan agak serius memilih bidang perundangan kerana beliau sememangnya gemar untuk menyelidiki sesuatu perkara hingga ke dasarnya. Mak Supinah mengimpikan agar Jeffrey juga akan menuruti jejak langkah abangnya.  Mengenangkan gelagat Jeffrey, Mak Supinah mengeluh seketika.

            “Kenapa Mak?” Sarina yang asyik membaca majalah REMAJA berasa hairan dengan emaknya yang tiba-tiba mengeluh.

            “Tiada apa-apa Rina.”

            “Betulkah?” Sarina dapat merasakan sesuatu yang pelik dengan sikap emaknya.
           
“Si Jeffrey tulah, apalah mau jadi sama dia tu.” Sarina terdiam, dia sendiri bingung dengan perangai adik bongsunya. Jeffrey suka melepak dengan kawan-kawannya sambil mengendong gitar buruknya. Ala…sesiapa pun yang ada anak macam Jeffrey tu mestilah susah hati! Sarina menggerutu di dalam hati. Namun dia pelik, emaknya sayangkan juga Jeffrey walaupun perangainya yang buruk itu. Dah nama pun anak, bukan macam Tati bodoh tu, baik macam mana pun bukannya adik-beradik aku. Malah lebih teruk dari anak tiri! Sarina terus melamun perasaannya.

* * *
            Derapan tapak kaki di luar rumah menarik perhatian Mak Supinah. Hatinya berasa lega melihat Mamai Mahadi, namun hatinya begitu jengkel apabila terpandangkan Tati Osundu.

            “Kenapa lambat?”

            “Singgah bagi Diana sayur khailan tadi, banyak betul.” Mamai Mahadi mengesat peluh yang membasahi wajahnya.

            Tati Osundu pantas membersihkan botol airnya yang telah kosong dan meletakkan di atas rak pinggan mangkuk yang hanya terletak bersebelahan dengan sinki.
           
“Hah Tati! Jangan cuci botol kau saja, yang dalam sinki tu cuci semua!” Arahan Mak Supinah hanya diturutinya. Memang niat di hatinya ingin membersihkan periuk yang kotor dalam sinki tersebut.

            “Pinah, jangan kau garang betul bah, budak tu baru sampai, bagilah dia rehat dulu.” Mamai Mahadi menyatakan rasa kurang senangnya.

            “Ala, penat sikit saja!”

            “Hmm… habis tu yang si Sarina ni kenapa tidak minta tolong?” Mamai Mahadi memandang Sarina yang sibuk membaca majalah kegemarannya. Mak Supinah terdiam.

            “Saya pun baru sampai Pak!” Sarina cuba membela dirinya. Suruh aku basuh periuk, tolong sikit, kerja-kerja macam tu biarlah Tati buat, bisik hatinya.

            “Saya pigi mandi dululah…” Sarina segera bangun, sebenarnya dia malas untuk berada lebih lama di dapur, bapanya pasti sibuk meleterinya, dan satu yang pasti, dia menyampah melihat wajah comot Tati Osundu.

[Bersambung...]

No comments:

Post a Comment