Tuesday, May 19, 2015

Payungkan Hujan Di Hatiku :: Bab 5

Penat.
 Penat jual towel.
Penat pek-pek towel.
Penat hantar towel.
Akhirnya migrain menyerang kerana towel... too colourful.

Maybe I have to go back and sit back...
To enjoy the breeze and the rhythm of my emotion,
... and continue to write...
Kan?

Nah... cerita si Diana diteruskan....
 ________________________________



“DIA marah kau ke?”
Diana membisu seribu bahasa, jiwanya tetap bergelodak. Dia sendiri keliru dengan siapa dia harus beralah sekarang? Taufik Idham yang masih bergelar suaminya atau Fathia, sepupu yang banyak menolongnya?
Fathia merengus kasar. Dia pasti Taufik Idham telah menelefon dan memarahi Diana, kalau tidak masakan keadaan Diana berubah lagi teruk. Diana yang duduk bersilang kaki di atas sofa mengambil tisu dan menghembus hingusnya. Fathia mengerutkan dahinya, hidung Diana sudah merah, sudah hampir terkupas, rupa Diana sangat teruk, lagi teruk dari muka anak yang kelaparan susu.
“Kau ni makin teruk aku tengok.” Rungut Fathia, Diana tidak mengendahkannya.
Diana memang sudah putus harapan, dia seolah-olah sudah tidak larat untuk mengharungi hidupnya lagi, dia benar-benar lemah, dia ditinggalkan begitu sahaja oleh suaminya tanpa sebab, dia benar-benar bingung, apa salahnya? Air matanya kembali mengalir deras.
Fathia segera mendekatinya, menghulurkan kotak tisu yang hanya berbaki separuh, dia tahu lawatan seterusnya ke rumah sepupunya ini dia perlu membeli beberapa kotak tisu lagi. Dengan keadaan Diana yang tidak terurus sekarang, dia tidak mampu untuk berfikir untuk mandi sekalipun.
Sejak berkahwin dengan Taufik Idham, Diana tidak dibenarkan bekerja. Taufik Idham tidak pada awalnya tidak mahu menyusahkan Diana, tapi disebaliknya, Taufik Idham sebenarnya cemburu sekiranya isterinya menjadi tumpuan lelaki lain. Meskipun Diana adalah wanita yang amat sederhana, Taufik Idham mahukan Diana menjadi miliknya seorang, hidup Diana dikongkong dan kebebasannya disekat, Diana tidak dibenarkan keluar sesuka hati, berkawan dengan sebarang orang dan berhubung dengan kawan-kawan lama.
Sebab itu Fathia amat membenci dan menyampah dengan Taufik Idham.
Taufik Idham telah lama mendera isterinya di dalam diam, isteri yang baik itu hanya menurutkan segala kemahuan suami yang disayanginya. Walaupun berpelajaran tinggi, tapi dia sanggup menjadi surirumah sepenuh masa semata-mata untuk memuaskan hati suaminya.
Apa yang dia dapat sebagai imbalan?
Kecewa.
Hampa.
Merana.
Dia ditinggalkan begitu sahaja, habis manis sepah dibuang. Diana ditinggalkan terkontang-kanting seorang diri. Mana tidak geramnya Fathia.
“Korang pernah gaduh tak sebelum ni?” Soal Fathia tiba-tiba.
Diana menggeleng lemah.
“Erm… kau pernah syak dia ada perempuan lain?”
Diana mendongakkan kepalanya memandang tepat wajah sepupunya, matanya yang kian layu digosok lembut. Mata yang sudah sedia merah itu makin bertambah merah.
“Kenapa kau tanya macam tu?”
Fathia menelan air liurnya sendiri, telinganya masih tidak pekak dan masih dapat menangkap dengan jelas isi perbualan Taufik Idhan dengan seseorang melalui telefon pejabatnya tempoh hari, panggilan ‘sayang’ dari seseorang yang tidak dikenali cukup untuk meremangkan bulu romanya.
“Saja aku nak tanya kau.”
Diana memandang kosong ke depan, jiwanya berkecamuk, dia puas berfikir apa punca utama Taufik Idham meninggalkannya, namun dia gagal.
“Aku tak fikir macam tu.” Entahlah kalau-kalau Diana menyedapkan hatinya sendiri, tapi memang dia tidak pernah meragui kesetiaan Taufik Idham. Selama mereka bergelar suami isteri,  Taufik Idham memang seorang suami yang baik, bahkan suaminya itu tidak membenarnkan dia bekerja kerana mahu dia menjadi surirumah tangga sepenuh masa, menjaga kebajikan Taufik Idham sebagai seorang suami, dan juga kebajikan anak-anak mereka yang akan datang.
Anak-anak?
Ungkapan itu bagaikan menjadi volkano yang meletup di kepala Diana secara tiba-tiba, laharnya yang panas seolah-olah melimpah keluar dari otaknya dan terus ke seluruh sistem badannya. Tubuh Diana menggeletar.
“Kau kenapa pula ni?” Fathia gusar melihat sepupunya menggeletar secara tiba-tiba.
Diana tidak menjawab, wajahnya semakin pucat. Fathia mulai panik. Dia menjamah dahi sepupunya, panas!
“Kau demam ni!” Fathia cuba berlagak tenang, dia mengorak pantas ke dapur dan mencapai mug di atas rak, cepat-cepat memicit punat air suam dan mendapatkan Diana semula.
Fathia melihat Diana sudah pun terbaring di atas sofa.
“Diana! Diana!” Jerit Fathia namun tubuh kecil Diana diam tidak berkutik. Fathia semakin cemas.
Air suam segera dipercik ke wajah Diana namun sepupunya itu tetap tidak menunjukkan sebarang reaksi, hati Fathia mula tidak sedap, jantungnya berdegup kencang.
Mug segera diletakkan di atas meja, dicempungnya tubuh kecil Diana namun boleh tahan juga beratnya, memang tidak terdaya kudratnya berseorangan. Fathia melepaskan tubuh lesu Diana dan menarik nafas panjang, Diana perlu dibawa ke hospital.
Fathia berusaha untuk menenangkan dirinya sendiri, dia harus tenang untuk dia menguruskan Diana, kalau dia semakin panik, maka semakin buruk padahnya. Dadanya diurut, nafas dihela panjang dan dihembuskan perlahan. Aku perlu bertenang.
Fathia kemudian tiada pilihan lain, dia berlari keluar rumah dan kepalanya meninjau ke kiri dan kanan jiran tetangga Diana, dia berlari ke arah jalan, matanya melilau cemas. Hatinya berdoa supaya ada kereta yang lalu, sepuluh saat yang berlalu bagaikan bertahun lamanya. Jiran-jiran keliling rumah Diana juga tidak kelihatan, ke tempat kerja barangkali memandangkan waktu tenghari ini begini memang kawasan ini akan lengang.
Fathia menyeka peluh yang mengalir deras di dahi, hatinya tidak putus berdoa.
Bunyi hon kereta yang agak kuar mengejutkan Fathia, pantas dia menoleh ke belakang, sebuah kereta BMW X5 berwarna hitam berhenti hanya beberapa inci darinya. Fathia tidak membuang masa sebaliknya terus meluru mendapatkan pemandunya. Tingkap kereta bahagian pemandu diketuk berkali-kali. Pemandu itu menurunkan tingkap, mungkin perasan dengan wajah cemas Fathia.
“Encik... tolong saya!” Fathia mula menghamburkan tangisnya.
“Ya cik, apa yang saya boleh tolong?”
Fathia berasa sedikit lega.
“Tolong encik…” Rayu Fathia lagi.
“Cik… cik bertenang okey. Cuba cik cakap satu-satu, kenapa cik cemas? Apa yang saya boleh bantu?”
“Diana… Diana pengsan di dalam rumah!”
“Diana?”
“Diana sepupu saya encik, dia ada di dalam sana.” Fathia menuding jari ke arah rumah Diana.
Di dalam kereta itu, Fathia jelas melihat ada dua gadis kecil, yang masih lengkap berpakaian sekolah. Usia sekitar tujuh dan sembilan tahun. Fathia melemparkan senyuman tawar kepada mereka.
Pemandu itu berpaling kepada anak-anak gadis itu.
“Ara, Myra… kita kena tolong kakak ni.” Kedua gadis kecil itu tidak bersuara walaupun sepatah namun mengangguk-anggukkan kepala mereka.
Lelaki itu terus memarkirkan kereta di hadapan rumah Diana, Fathia mengurut dadanya kelegaan.
Sabar Diana, bertahan Diana, sekejap lagi kita akan sampai ke hospital.

“Diana!”
Fathia dengan pantas berdiri dan mendapatkan jururawat yang menyebut nama Diana sebentar tadi. Jururawat memberi isyarat agar dia segera masuk ke bilik rawatan kecemasan, Fathia hanya menurut.
“Err… cik!”
Fathia berpaling semula, baru dia perasan, lelaki yang mengangkat Diana dari sofa dan menolong menghantar mereka ke hospital turut sama berada di hospital.
“Encik, saya minta maaf kerana tidak sedar encik masih ada di sini.” Fathia serba salah.
Sebaliknya lelaki itu hanya tersenyum nipis sambil memegang kedua anak gadis kecil itu. Mungkin anak-anaknya, mereka belum sempat untuk berkenalan, Fathia terlalu risaukan Diana.
“Tak mengapa, saya faham.”
“Saya sangat menghargai jasa encik.” Ujar Fathia ikhlas, kepalanya ditundukkan sedikit.
“Tak ada apa-apa,  kita wajib tolong-menolong.”
Fathia tersenyum lega.
“Saya kena masuk untuk tengok keadaan sepupu saya, jumpa lagi.” Fathia meminta diri.
Lelaki itu tersenyum ikhlas sambil mengangguk-anggukan kepalanya.
“Saya harap tiada yang serius dengan penyakit sepupu cik, jadi saya minta dulu, saya kena hantar anak-anak saya balik ke rumah.”
Fathia mengangguk sekali lagi, “Terima kasih encik!”
Matanya kemudian mengikuti gerak kaki lelaki itu keluar dari bangunan hospital bersama anak-anaknya. Melihat lelaki yang baik hati itu pergi, barulah dia terasa seperti baru dilontarkan kembali ke dunia realiti, siapa gerangannya nama lelaki segak itu? Dia terlupa bertanyakan namanya.
Arghh… itu semua tidak penting buat masa ini. Keadaan Diana harus lebih diutamakan. Fathia tidak membuang masa, terus sahaja masuk ke bahagian bilik rawatan kecemasan.
“Cik…” Jururawat yang memanggilnya sebentar tadi menggamitnya. Fathia menapak ke arahnya. Seorang doktor yang berwajah serius di samping jururawat itu menggerunkan Fathia. Bimbangnya kembali bertandang.
“Cik saudara kepada cik Diana ke?” Doktor itu bersuara.
“Ya, saya Fathia, sepupu Dania.”
“Keluarga terdekat yang lain?”
“Keluarga terdekat?” Fathia menyoal semula.
“Maksud saya, ibu bapa… suami…”
“Oh, ibu bapa ada di kampung, suami… err dia bekerja di luar kawasan sekarang.” Fathia tidak suka menipu, benar-benar dia bencikan sikap seorang penipu tapi dia tidak mempunyai sebarang pilihan.
Doktor itu mengangguk-angguk sambil memandang ke arah laporan kesihatan ditangannya. Fathia semakin risau.
“Diana, dia… tak apa-apa kan doktor?” Fathia semakin kecut perut dibuatnya.
Doktor itu memandangnya sekilas, kemudian memandang ke arah laporan yang mungkin kepunyaan Diana itu.
“Tekanan darah cik Diana sangat rendah, badannya juga sangat lemah, saya rasa Diana mengalami tekanan. Erm… dia bekerja ke?”
Tekanan? Aduh!
“Cik?”
Fathia tersentak dan berusaha tersenyum kepada doktor itu.
“Ya…ya…” Fathia tergagap-gagap.
“Ya?” Ulang doktor itu.
“Err… maksud saya mungkin Diana memang mengalami tekanan, lagi satu dia tidak bekerja.”
Doktor itu kembali mengangguk.
“Jadi bagaimana sekarang doktor?”
“Diana terpaksa ditahan untuk pemeriksaan lanjut, dalam keadaan dia sekarang, kita tidak boleh biarkan dia untuk keluar hospital.”
“Maksud doktor?”
“Ya, Diana akan dimasukkan ke dalam wad!”
Fathia menggigit bibir. Hatinya mengakui ada baiknya Diana ditempatkan di hospital, senang untuk pihak hospital melihat keadaannya.
“Baik cik maklumkan kepada keluarga terdekatnya.” Sambung doktor itu disusuli dengan keluhan perlahan dari bibir Fathia.
Wajah pucat Diana yang terpejam matanya diperhatikan oleh Fathia dengan penuh rasa sayu. Kasihan sungguh nasibmu Diana, Taufik Idham sungguh kejam memperlakukan kau sebegini rupa.
Telinganya kembali terngiang suara manja perempuan melalui telefon tempoh hari, hatinya kembali berbulu dan benci, memang sah Taufik Idham ada hubungan sulit dengan perempuan lain, sebab itu dia sanggup meninggalkan Diana yang boleh dikatakan sehelai sepinggang sekarang. Diana tidak mempunyai sebarang pekerjaan meskipun seorang yang berpendidikan tinggi, pun disebabkan oleh lelaki hidung belang itu.
Fathia kembali mengeluh.
Lemah kakinya melangkah keluar dari wad yang menempatkan Diana itu, tapi dia tahu keadaan Diana harus dimaklumkan kepada keluarganya di kampung, dia dapat membayangkan kerunsingan wajah Pak Murad dan Mak Kamisah. Tapi dia tidak mempunyai pilihan.
Dia tahu Taufik Idham juga harus diberitahu, sebenci mana hatinya, semeluat mana hatinya, lelaki hidung belang itu harus mengetahui keadaan isterinya, harus!



________________________________

Be strong Di... 
Dear my heart, you be strong too...

2 comments:

  1. Uihhhhh...geramnyeeeee...kesian Diana...best2 tq vel..nk lg..hehe

    ReplyDelete
  2. Valerie...ni kak ita...jgn lupa baca email akak ek..

    Di stay strong...ur hero sudah muncul...duda ada anak dua...miahaha

    ReplyDelete